Suami isteri maut kemalangan motosikal, kereta

Suami isteri maut kemalangan motosikal, kereta

Sepasang suami isteri maut selepas motosikal yang mereka naiki berlanggar dengan sebuah kereta lalu terbakar di Kilometer 363.9 Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohamad Nazrul, 41 dan isterinya dikenali sebagai Norwahidah, 34.

Menurutnya, dalam kemalangan kira-kira jam 1 tengahari itu, Mohamad Nazrul meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Slim River.

Katanya,siasatan awal mendapati pemandu Toyota Altis dari arah Utara menghala ke Johor, telah hilang kawalan lalu terbabas ke lorong kanan dan terlanggar besi pembahagi tengah, menyebabkannya melintang di tengah jalan.

“Dalam masa yang sama, motosikal tersebut tidak sempat mengelak dan terlanggar pintu belakang kiri kereta tersebut. Kedua-dua kenderaan telah terbakar,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Sulizmie Affendy, pemandu kereta, lelaki berusia 40 tahun tidak mengalami kecederaan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: https://www.suaraperak.com/suami-isteri-maut-kemalangan-motosikal-kereta-di-lebuhraya-plus/