Suami isteri kantoi beli 28 bungkus daun ketum

Suami isteri kantoi beli 28 bungkus daun ketum

 

Sepasang suami isteri ditahan ketika membeli 209.8 kilogram daun ketum dalam serbuan sebuah rumah di Bendang Sungai Kerang, Mukim Sungai Durian, Jejawi di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, pasangan berusia 45 tahun yang berasal dari Kuantan, Pahang itu ditahan kira-kira jam 2.45 petang bersama daun ketum bernilai RM3,147.

Menurutnya, seorang lelaki warga emas berusia 61 tahun yang berperanan sebagai penjual turut ditahan dalam serbuan itu.

“Anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis (IPD) Perak Tengah ternampak dua lelaki dalam keadaan mencurigakan cuba untuk menutup but pacuan empat roda jenis Isuzu.

“Terdapat seorang wanita yang merupakan isteri kepada salah seorang suspek duduk di bahagian penumpang hadapan kenderaan tersebut.

“Pemeriksaan lanjut pada kenderaan tersebut menemui 28 bungkusan plastik berwarna hitam didalamnya mengandungi daun-daun hijau disyaki daun ketum,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Barudin berkata, siasatan awal mendapati penjual mendapatkan bekalan daun ketum tersebut daripada individu lain yang dikenali sebagai ‘Pak Awang’.

“Pasangan terbabit mendapatkan bekalan daun itu untuk dijual sekitar Pahang. Polis sedang berusaha mengesan ‘Pak Awang’ yang dipercayai tinggal di kawasan Kampung Sungai Kerang, Teluk Intan.

“Ujian saringan awal urin mendapati ketiga-tiga suspek negatif dadah dan siasatan lanjut mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau bersabit kes ketum,” katanya.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.