Suami isteri ditahan edar ganja

Suami isteri ditahan edar ganja

 

Suami isteri yang baru dua bulan terbabit aktiviti pengedaran ganja ditahan polis di sebuah rumah di Taman Melati di sini, jam 6.30 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pasangan terbabit berusia 27 tahun dan kedua-duanya tidak bekerja selain memiliki seorang anak perempuan berusia lima tahun.

“Mereka sudah setahun menghisap ganja dan hampir dua bulan terbabit mengedar ganja di sekitar Lumut dan Sitiawan.

“Ganja terbabit dijual kepada penagih yang dikenali,” katanya dihubungi Harian Metro hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan dalam rumah itu menemukan ganja seberat 114.61 gram.

“Kami turut merampas peralatan menghisap ganja pada serbuan ini. Ujian air kencing mendapati suami isteri itu positif Tetra Hydrocannibol (THC).

“Pasangan terbabit direman sehingga 29 November ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39 A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Pada masa sama, Nor Omar berkata, pihaknya turut menahan 51 individu yang terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah, termasuk dua individu dikehendaki, pada Op Sarang Khas Bersepadu (Jihad Dadah) di daerah ini sejak Ahad lalu hingga jam 2 petang semalam, di lokasi berasingan.

Operasi membabitkan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) IPD Manjung, Pasukan Polis Marin Kampung Acheh, Pasukan Gerakan Am dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) itu turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM9,185.

“Empat suspek disiasat mengikut Seksyen 39A(2) ADB 1952, masing-masing seorang mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 6 ADB, 18 mengikut Seksyen 12(2) dan 24 pula mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama.

“Seorang lagi disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, manakala dua lagi dikategorikan sebagai orang yang dikehendaki,” katanya.

Dadah dirampas membabitkan 18.72 gram (g) heroin, 18.01g syabu, 114.61g ganja, 8.27g ketamin dan lapan butir Eramin 5.