Suami isteri ditahan disyaki dera anak saudara hingga mati

Suami isteri ditahan disyaki dera anak saudara hingga mati

 

Pasangan suami isteri ditahan susulan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang juga anak saudara mereka disyaki didera, di sini, hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, penahanan suami isteri masing-masing berusia 40 tahun itu dibuat susulan laporan polis dibuat pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, pada 3.14 pagi tadi.

Beliau berkata, berdasarkan laporan, seorang kanak-kanak perempuan dibawa ke hospital oleh ambulans, namun disahkan meninggal dunia pada 1.45 pagi.

Katanya, bedah siasat yang dijalankan oleh Pakar Patologi, Jabatan Forensik HRPB mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan ‘multiple blunt injury’.

“Pemeriksaan ke atas badan mayat mendapati terdapat beberapa kesan cedera disyaki akibat didera.

“Polis sudah menangkap suami isteri terbabit yang juga adalah ibu dan bapa saudara mangsa selain mereka juga adalah penjaga kepada mangsa yang tinggal di Ipoh,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya, kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah pada esok (Isnin) bagi permohonan perintah reman untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan S Dasarathan di talian 012-5644484 untuk membantu siasatan.