Suami isteri ditahan, dadah bernilai RM2 juta dirampas

Suami isteri ditahan, dadah bernilai RM2 juta dirampas

 

Polis merampas dadah bernilai RM2 juta dan menahan pasangan suami isteri yang disyaki terlibat dengan aktiviti mengedar dadah sekitar Ipoh dalam dua serbuan berasingan Khamis lepas.

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata, seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun ditahan di sebuah pusat makanan di Jalan Raja Musa Mahadi.

Pasangannya, wanita warga Vietnam berusia 38 tahun, ditahan di tepi jalan sekitar Panorama Lapangan Perdana pada kira-kira 4.40 petang.

Mior Faridalathrash berkata, hasil pemeriksaan ke atas sebuah kereta yang dipandu suspek lelaki menemukan 10 bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis metamfetamin.

Tambahnya, dalam pemeriksaan susulan yang dilakukan di sebuah kereta di tempat letak kenderaan sebuah pangsapuri sekitar Ipoh, 10 bungkusan plastik disyaki dadah jenis sama turut dijumpai.

“Polis turut menyita seutas jam tangan berjenama, rantai kaki, sebentuk cincin serta seutas rantai tangan manik.

“Anggaran jumlah keseluruhan harta yang disita bernilai RM83,315,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Ipoh, menurut Bernama.

Katanya, ujian air kencing ke atas suspek lelaki yang bekerja di kedai cermin dan aluminium didapati positif dadah jenis metamfetamin, manakala suspek wanita yang tidak bekerja itu didapati negatif dadah.

Kedua-duanya tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Menurut Mior Faridalathrash, dadah yang dirampas dipercayai untuk diedarkan dalam pasaran tempatan, dan boleh dibekalkan kepada kira-kira 200,000 penagih.

Katanya, kedua-dua suspek yang aktif mengedar sejak tiga bulan lepas direman seminggu sejak Jumaat lepas hingga Khamis ini.

Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.