Suami Fatin Afeefa dikecam buat lawak jadi orang pertama dijangkiti ‘Monkeypox’
Suami kepada pelakon, Fatin Afeefa iaitu Aliff Awang dikritik netizen selepas memuat naik video ‘prank’ dirinya dijangkiti virus monkeypox.
Video tersebut memaparkan Aliff atau lebih mesra disapa Opai itu memakai pelitup muka seolah-olah menunjukkan keadaannya yang tidak sihat itu.
“Kepada sesiapa yang kenal saya dan berjumpa sejak dua tiga hari lepas ni saya sarankan anda semua pergi periksa sekiranya anda semua positif. Rasanya saya terkena monkeypox pertama di Malaysia,” katanya.
Bagaimanapun, Aliff kemudian bertindak membuka pelitup mukanya lalu menggunakan filter wajah monyet sekali gus ketawa terbahak-bahak.
Video yang telah disunting ke platform TikTok itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan netizen kerana menganggap Aliff mempermainkan isu penyakit yang membimbangkan serta semakin hangat di negara Afrika, Thailand, malah Indonesia.
Menjengah ke ruangan komen hantaran tersebut, netizen meluahkan rasa kesal dan berang serta mendoakan agar Aliff benar-benar dijangkiti penyakit itu.