“Suami cuma bagi tuala je” – Dituduh berkhalwat, wanita pelik sekumpulan individu tak mahu tunjuk kad kuasa

“Suami cuma bagi tuala je” – Dituduh berkhalwat, wanita pelik sekumpulan individu tak mahu tunjuk kad kuasa

 

Seorang wanita tular di media sosial selepas berkongsi kisah mengenai dia dan suaminya yang dituduh ‘berkhalwat’ di sebuah hotel.

Menurut mStar, kejadian antara pukul 2 hingga 3 pagi itu menyebabkan mereka terjaga apabila pintu bilik hotel diketuk sekumpulan individu tidak dikenali.

“Lawak juga, tak pasal je kena tangkap basah. Berangin la suami yang baru lelap tiba-tiba dikejutkan. Entah siapa buat serbuan semua bilik kat hotel ni.

“Katanya nak periksa konon ada yang berzina dekat hotel ni. Mengaku ada kuasa nak periksa. Tapi tak nampak pula ada polis atau kakitangan hotel yang mengiringi mereka,” ujar wanita itu.

Bercerita lanjut, pengadu mendedahkan berlaku sedikit ketegangan antara suaminya dan kumpulan itu ekoran sikap mereka yang berkeras untuk masuk membuat pemeriksaan tanpa sebarang dokumen sokongan.

“Suami mula tanya elok je. Tapi mereka berkeras nak masuk bilik kami. Suami tanya siapa yang iringi mereka. Mereka kata ada kuasa nak masuk dan soal siasat kami dalam bilik hotel.

“Suara suami makin tinggi bertanya tentang kuasa apa mereka ada untuk masuk bilik kami. Tiba-tiba jurucakap sekumpulan ‘mangkuk hayun’ ni buat suara tinggi juga.

“Sementara itu, bini yang serba-salah ni tak tahu nak pakai apa sebab suami cuma bagi sehelai tuala je. Dalam keadaan mamai berfikir, kat folder mana aku simpan sijil nikah yang aku scan masuk dalam telefon,” ceritanya lagi.

Selepas bertegang urat di hadapan pintu, kumpulan itu akhirnya berputus asa dan meninggalkan pasangan berkenaan di dalam bilik mereka.

Menurut wanita itu, dia mendapati beberap penghuni lain turut berdepan kejadian serupa ketika menginap di hotel berkenaan.

“Aku jerit kat suami suruh bagi mereka masuk. Siap tanya apa tujuan nak periksa. Suara tu memang ala-ala cikgu tanya students kenapa tak buat kerja sekolah? Dua ke tiga kali aku tanya.

“Akhirnya mereka cakap tak ada apa-apa dan blah. Aih lega. Suami pula payah la nak tidur lepas tu. Dah la kami baru sampai waktu Maghrib sebelum tu dari Banting.

“Esoknya ramai mengadu kat receptionist. Baru tahu mereka main redah masuk serbu semua bilik. Satu pasangan makcik dan pakcik ni, telefon kena rampas sebab rakam muka mereka. Paksa mereka delete video. Menyirap darah dengar,” cerita pengadu lagi.

Tambahnya, ini merupakan kejadian ‘tangkap basah’ yang pertama selepas hampir 26 tahun dia dan suaminya mendirikan rumah tangga.

Menerusi coretan pada hantaran tular itu, ia dipercayai berlaku pada Sabtu, 27 April, namun pengadu tidak mendedahkan secara terperinci nama hotel serta lokasi kejadian.

Menjengah ke ruangan komen, segelintir netizen turut memberi saranan kepada pasangan itu agar membuat laporan polis.

Malah, mereka turut menggesa supaya pasangan itu mendedahkan nama hotel supaya pelanggan lain tidak menjadi mangsa pada masa akan datang.