“Suami akak tu OKU” – Tular wanita dua anak dihalau keluar rumah, rupanya ada kisah lain disebaliknya

“Suami akak tu OKU” – Tular wanita dua anak dihalau keluar rumah, rupanya ada kisah lain disebaliknya

 

Susulan tular kisah seorang wanita dihalau keluar rumah bersama dua orang anaknya, seorang individu tampil memperjelaskan kejadian sebenar.

Menerusi beberapa perkongsian di Facebook Dhia Ain, selepas membaca kisah tular itu, dia terus bertemu dengan ibu mentua wanita berkenaan yang dipanggil Mak Cik Gayah.

Wanita dihalau keluar rumah

Menurut Mak Cik Gayah, menantunya ada memberitahu dia mahu balik ke kampungnya yang terletak di Kedah sekitar 4.30 petang pada hari itu.

“Menantunya memang ada bagitau nak balik kampung di Kedah pada pukul 4.30 petang dan berbekalkan duit yang ada untuk balik ke Kedah,” katanya.

Selepas kisah ini tular, Mak Cik Gayah segera ke Kuala Lumpur Light Rail Transit (LRT) Setiawangsa untuk membawa menantunya pulang ke rumah.

“Menantu Mak Cik Gayah ada lima orang anak yang semuanya masih kecil. Yang dibawa balik abang sulung dan bayi paling kecil. Mak Cik Gayah baru tahu kes ni viral dan terus ke :RT Setiawangsa nak bawa pulang menantu dan cucu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mak Cik Gayah turut mendedahkan ini bukan kali pertama menantunya itu balik ke Kedah malah pernah melarikan diri dari rumah.

“Mak Cik Gayah cakap ini bukan kali pertama menantu dia nak balik Kedah. Sebelum ni pernah lari dari rumah dan balik Kedah. Lepas sebulan dua, akan balik Kuala Lumpur,” dedahnya.

Sementara itu, Dhia berkata Mak Cik Gayah cuma mahu tahu keberadaaan menantunya itu sama ada sudah selamat sampai ke Kedah atau masih berada di Kuala Lumpur.

“Anak sulung yang dibawa tu demam. Mak Cik Gayah dalam perjalanan buat laporan ke balai polis,” katanya.

Pada perkongsian lain, Dhia berkata Mak Cik Gayah meninggalkan tiga lagi orang anak yang tidak dibawa ke Kedah dengan suami wanita tersebut yang juga Orang Kurang Upaya (OKU).

“Kedua-dua pasangan tersebut tidak bekerja dan mendapat beras dari derma masjid-masjid serta sedekah orang ramai. Harap semua jangan salahkan akak tu dan mentuanya sebab kita tak tahu cerita sebenar. Cuma harap dapat jumpa mereka bertiga dalam keadaan baik,” katanya.

Menerusi tinjauan, perkongsian Dhia mengenai kes ini di akaun Facebook miliknya sudah pun dipadam namun orang ramai sempat mengambil tangkap layar hantaran asal.

Terdahulu, tular satu perkongsian di Facebook Nurul Izni memaparkan seorang kanak-kanak lelaki sedang menjaga adiknya yang berusia lebih kurang satu bulan di LRT Setiawangsa.

Nurul Izni dan rakannya kemudian mendekati kanak-kanak lelaki itu dan mengajar cara untuk menyusukan adiknya kerana dia kelihatan agak kekok memegang botol susu.

Kanak-kanak lelaki itu kemudian menceritakan mereka bertiga telah dihalau oleh ayah disamping turut menyatakan dia telah berhenti sekolah.

Selepas 20 minit, ibu kepada kanak-kanak itu kembali dan menurut Nurul Izni, jelas kelihatan luka yang sudah kehitaman di tangan wanita tersebut.

Wanita tersebut telah mendakwa dia sering dipukul oleh suaminya dan ibu mentua dan mereka telah dihalau keluar dari rumah.