“Staf tegur pun tak jalan, jenis ketegaq..” – Dah tak buat assignment kat McD, pelajar ‘berkampung’ di Family Mart pula

“Staf tegur pun tak jalan, jenis ketegaq..” – Dah tak buat assignment kat McD, pelajar ‘berkampung’ di Family Mart pula

 

Beberapa individu dipercayai pelajar institut pengajian tinggi (IPT) telah menjadi perhatian di media sosial kerana menguasai tempat duduk di premis Fami Cafe untuk tempoh masa lama sebagai lokasi untuk menyiapkan tugasan.

Hal itu menyebabkan pelanggan lain tidak dapat mencari tempat duduk dan terpaksa melupakan hasrat untuk makan di premis tersebut.

Menurut pengadu yang enggan dikenali dalam hantarannya di Facebook group ‘Saya Anak Perlis’ berkata, teguran sudah dibuat namun tiada sebarang respon yang diterima.

“Tempat sempit jugalah nak buat assignment. Bila ditanya, ‘Lama lagi ka? Family kita nak makan’. Selamba mereka jawab, ‘Lama lagi bang. Saya tengah siapkan assignment.’.

“Makanan tak ada pun atas meja. Staf tegur pun tak jalan, masih juga duduk di situ. Kalau jenis yang macam ni, orang Perlis kata, ketegaq ni.

“Harap Family Mart lebih cakna bab ini,” katanya.

Sementara itu, netizen turut mengkritik perbuatan pelajar-pelajar terbabit yang tidak mengambil kira kepentingan pelanggan lain.

“Serius aku tak faham dengan budak-budak sekarang. Common sense korang semua ke mana weh? Banyak lagi tempat lain untuk belajar. Nak buat assignment, pergi library. Kan ada bilik 24 jam. Memang benak ubi betullah,” kata Fauzi.

“Samalah situasi di Zus Coffee. Semak aku tengok. Premis kena tulis atas meja, dihadkan satu jam sahaja untuk duduk dan makan. WiFi pun sama, had satu jam. Barulah ada ruang untuk pelanggan lain,” kata Leveana.