Stadium Nasional Bukit Jalil kekal gelanggang aksi Malaysia-Oman

Perlawanan keempat Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 Kumpulan D yang melibatkan Malaysia dan Oman pada 26 Mac ini akan kekal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan berkata ia diputuskan selepas satu lawatan dilakukan oleh Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin dan Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Dato’ Hans Isaac pada Khamis bagi meninjau keadaan terkini padang di stadium itu.
Malah, ia turut disertai oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon dan barisan kejurulatihannya, Naib Presiden FAM, Mohd Joehari Mohd Ayub, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd Faidz Sanusi dan pihak konsultan teknikal serta kontraktor padang terbabit
“Hasil pemeriksaan dan penilaian pada lawatan tersebut telah mendapati bahawa persediaan padang menjelang perlawanan pada 26 Mac ini adalah mengikut jadual.
“Keadaan rumputnya dijamin akan berada pada tahap yang terbaik untuk aksi menentang Oman itu nanti,” kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman, menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook.
Susulan pengesahan lokasi perlawanan itu, tiket bagi perlawanan Malaysia menentang Oman akan mula dijual secara dalam talian di www.tickethotline.com.my pada 9 Mac (Sabtu).
Menurut FAM, harga tiket bagi semua kategori dikekalkan iaitu sama seperti perlawanan pertama Kumpulan D menentang Republik Kyrgyz pada November lalu.
“Bagi kategori tiket Terbuka, harga ditetapkan pada RM40 untuk dewasa dan RM5 kanak-kanak bawah 12 tahun, RM60 bagi tiket Grandstand dan RM80 bagi tiket Premium,” katanya.
Sementara itu, skuad Harimau Malaya akan memulakan kem latihan pusat di Wisma FAM, hari ini bagi persiapan menghadapi perlawanan ketiga Kumpulan D menentang Oman di Sultan Qaboos Sports Complex, Muscat pada 21 Mac. Selepas itu mereka akan terbang pulang ke tanah air bagi perlawanan keempat di Bukit Jalil pada 26 Mac.