SPRM tahan 16 pengarah syarikat seleweng geran peruntukan MITRA

SPRM tahan 16 pengarah syarikat seleweng geran peruntukan MITRA

 

Seramai 16 orang pengarah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan geran peruntukan yang dikeluarkan MITRA, agensi di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

Kesemuanya berusia antara 24 hingga 68 tahun ditahan dalam satu operasi besar-besaran di sekitar Lembah Klang bermula petang semalam.

Satu sumber memberitahu, dianggarkan puluhan juta telah dilesapkan oleh kumpulan itu, yang pada asalnya memohon geran peruntukan MITRA bagi melaksanakan program-program sosioekonomi masyarakat India di negara ini.

Jelas sumber, siasatan kes akan merangkumi semua bentuk permohonan dan perbelanjaan peruntukan geran yang telah disalurkan oleh MITRA bermula 2018 hingga kini.

“Kita menganggarkan hampir 60 peratus daripada peruntukan geran yang diterima oleh syarikat, orang perseorangan dan yayasan bagi tujuan pelaksanaan program pembangunan sosioekonomi tidak sampai kepada kumpulan sasar yang sepatutnya.

“Peruntukan ini dipohon daripada MITRA dan kemudiannya diselewengkan untuk kepentingan individu tertentu.

“Bagaimanapun, tiada program dibuat dan tiada pernyataan perbelanjaan dapat dikemukakan oleh pihak berkuasa,” katanya di sini hari ini, menurut laporan Utusan.

Kata sumber itu, MITRA telah distruktur semula pada 2018 ketika pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Namun pada April 2020 hingga kini, MITRA diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara. Dianggarkan MITRA memperoleh bajet berjumlah RM100 juta setahun.

“Kesemua 16 yang ditahan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi proses reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam bin Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Jelas beliau, siasatan dibuat di bawah Seksyen 16 (a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.