SPRM panggil saksi isu skandal tanah yang dikaitkan dengan MB Perak

SPRM panggil saksi isu skandal tanah yang dikaitkan dengan MB Perak

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil beberapa saksi bagi memberi keterangan berhubung laporan skandal pemberian tanah yang didakwa mempunyai unsur penyalahgunaan kuasa oleh Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Tanpa mendedahkan jumlah dan identiti individu dipanggil, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata, sejak semalam beberapa individu telah memberi keterangan sebagai saksi berkaitan laporan tersebut.

Menurutnya, beberapa individu lagi akan turut dipanggil sebagai saksi untuk membantu siasatan terhadap laporan diterima SPRM pada Isnin lalu.

“Ya, SPRM telah memulakan siasatan. Beberapa saksi telah dan akan dipanggil untuk membantu siasatan mulai semalam,” katanya dalam satu kenyataan ringkas kepada Sinar Harian hari ini.

Sebelum ini, SPRM mengesahkan satu siasatan akan dijalankan berhubung isu skandal tanah di Perak.

Menerusi kenyataan, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusyairi Yahya, siasatan tersebut dibuat susulan penyebaran surat bertajuk ‘surat karam’ di media sosial baru-baru ini.

Pada 7 September lalu, Putra membuat laporan kepada SPRM susulan surat tular di media sosial berhubung skandal pemberian tanah yang didakwa mempunyai unsur penyalahgunaan kuasa.

Naib Presiden Putra, Datuk Hamidah Osman berkata, pendedahan itu dilihat membimbangkan apabila pemberian secara sah itu melibatkan lebih 1,200 hektar tanah di seluruh negeri.

Menurutnya, kebimbangan itu berasas apabila tanah turut diberikan kepada syarikat yang baharu ditubuhkan hasil semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Dalam perkembangan sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam kenyataan media pada hari yang sama memaklumkan pihaknya sedia memberi kerjasama kepada SPRM berhubung dakwaan penjualan tanah dan pasir seperti yang terkandung dalam surat layang baru-baru.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/100338/EDISI/Perak/SPRM-panggil-beberapa-saksi-isu-skandal-tanah-di-Perak