SPRM panggil 10 lagi saksi isu jual tanah lapangan terbang di Seri Iskandar

SPRM panggil 10 lagi saksi isu jual tanah lapangan terbang di Seri Iskandar

 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak memanggil 10 lagi individu bagi membantu siasatan berhubung isu penjualan tanah bagi tapak cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar, di sini.

Jumlah itu menjadikan 13 saksi sudah dipanggil bagi membantu siasatan kes setakat ini.

Bagaimanapun, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad, berkata setakat ini pihaknya tidak menahan mana-mana individu yang dikatakan terbabit dengan kesalahan Akta SPRM berkaitan penjualan tanah ‘Lapangan Terbang Sri Iskandar’.

Katanya, seramai 10 saksi sudah dipanggil bagi membantu siasatan terdiri daripada pegawai Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), pegawai kerajaan negeri, bekas Exco Perak dan pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

“Seorang saksi ALP (Ahli Lembaga Pengarah) PKNP merangkap bekas Penasihat Undang-Undang Negeri sudah dirakam kenyataannya.

“SPRM hari ini akan merakam (kenyataan) seorang lagi ALP PKNP yang turut hadir dalam mesyuarat ALP PKNP berkaitan perbincangan penjualan tanah PKNP,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, hari ini.

Mohd Fauzi berkata, seorang lagi saksi penting dijangka dirakamkan kenyataan dalam masa terdekat sebelum fail siasatan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk kajian dan keputusan.

“Siasatan SPRM masih tertumpu kepada kesalahan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 (kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan) dan kesalahan lain di bawah ASPRM,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, SPRM merakam kenyataan tiga saksi membabitkan pegawai PKNP dan kerajaan negeri Perak berhubung isu terbabit bagi membantu siasatan.

Isu penjualan tanah lapangan terbang berkenaan timbul selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Aulong, Nga Kor Ming pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mendakwa tanah itu sudah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad kemudiannya memaklumkan penjualan tanah itu dilakukan ketika di bawah pentadbiran PH kepada syarikat swasta untuk pembangunan bercampur di kawasan itu.