SPM tamat, guru kagum lihat ‘pemandangan menyejukkan mata’ oleh pelajar kelas corot, “Takde tarian atas motor, takde aksi gunting baju”

SPM tamat, guru kagum lihat ‘pemandangan menyejukkan mata’ oleh pelajar kelas corot, “Takde tarian atas motor, takde aksi gunting baju”

JIKA sebut sahaja murid ‘kelas belakang’ atau ‘kelas corot’, pasti ada dalam kalangan masyarakat kita yang mempunyai tanggapan negatif terhadap golongan pelajar tersebut.

Tidak dinafikan, sekiranya terdapat kes kecurian atau kes disiplin yang lain di sesebuah sekolah, pastinya murid kelas belakang yang sering dituduh sebagai ‘suspek’ utama.Namun bak kata pepatah, usah menilai seseorang daripada sifat luarannya.

Menerusi satu posting di Facebook, seorang guru, Muhammad Yusof, berkongsi sekeping gambar ‘pemandangan menyejukkan mata’, menunjukkan pelajarnya melakukan sujud syukur selepas selesai menjawab kertas terakhir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kelihatan pelajar lelaki yang lengkap dengan pakaian seragam membentuk tiga barisan panjang dan bersujud di atas sejadah di kawasan lapang sekolah mereka.

Perkongsian guru bernama Muhammad Yusof mengenai pelajarnya menjadi tular di Facebook.

“Hari ni budak-budak ‘kelas belakang’ habis SPM. Hari ni last diaorang periksa dan Alhamdulillah, diaorang akhiri sesi persekolahan mereka dengan sujud syukur.

“Takde tarian atas motor, takde aksi gunting baju atau aksi merempit tak tentu hala. Ya, mereka mengakhiri SPM mereka dengan ingat pada Tuhan,” tulisnya pada perkongsian tersebut.

Berkongsi serba sedikit mengenai para pelajarnya itu, guru ini mendedahkan walaupun menduduki kelas corot namun akhlak serta sahsiah mereka berada pada tempat teratas.

Takde tarian atas motor, takde aksi gunting baju atau aksi merempit tak tentu hala. Ya, mereka mengakhiri SPM mereka dengan ingat pada Tuhan.

MUHAMMAD YUSOF

GURU

“Walaupun ‘kelas belakang’ tapi mereka-mereka inilah yang rajin tegur cikgu-cikgu kat luar. Kalau jumpa kat pasar malam, sebatu mereka dah jerit ‘cikguuuu… siap berebut nak salam cium tangan cikgu.

“Dalam kepala saya sentiasa tersemat mereka-mereka ini adalah anak-anak yang cemerlang kemenjadian dan sahsiah mereka,” pujinya yang dalam masa memohon agar netizen mendoakan agar semua calon SPM lulus peperiksaan tersebut.

Sehingga kini posting tersebut meraih lebih 800 shares selain dibanjiri ribuan komen netizen yang rata-ratanya memuji pendekatan para pelajar berkenaan.

Calon SPM 2020 menjalani peperiksaan dalam suasana norma baharu. Gambar hiasan. Foto: Azhar Mahfof/The Star

“Anak murid saya kelas belakang. Habis paper Sejarah saya mohon left group. Lepas saya left group, setiap murid (kebanyakan lelaki) PM tepi, doakan kesejahteraan dan kesihatan gurunya dan mohon ampun atas salah silap. Terharu saya.

“Terharu sangat bila lihat situasi sebegini. Kemenjadian murid yang sangat bagus.

“Benar belaka tu. Murid kelas belakanglah yang tersenyum bila jumpa kita. Jerit nama kita. Rasa dihargai,” demikian antara komen netizen. – Mstar