Spesies baru ular kapak batu kapur ditemukan di Perlis

Spesies baru ular kapak batu kapur ditemukan di Perlis

 

Spesis baru ular kapak batu kapur berjaya ditemui di Perlis oleh sebuah persatuan yang dikenali sebagai Perlis Nature Xplorer (PNX).

Penemuan itu dikongsikan oleh PNX menerusi hantaran muat naik mereka di laman Facebook pada petang tadi.

Ular jenis limestone eyelash pit viper atau ular kapak batu kapur alis mata (trimeresurus ciliaris) telah ditemui di sebuah kompartmen hutan batu kapur di Perlis, 30 November lalu.

Bagaimanapun, penemuan di Banjaran Nakawan itu adalah dibuat secara tidak rasmi.

Menurut PNX, penemuan itu hanya boleh disahkan secara rasmi oleh penyelidik selepas penerbitan saintifik dilakukan.

Namun begitu, penemuan berkenaan dipercayai dapat mengesahkan kewujudan spesis tersebut di Perlis dan Banjaran Nakawan.

Menurut PNX lagi, sebelum ini penerbitan kertas saintifik oleh penyelidik Thailand menyenaraikan kawasan itu sebagai taburan habitat ular tersebut.

Kredit Facebook/Perlis Nature Xplorer

Penemuan telah dibuat pada 30 November lalu

Dalam kajian berkenaan, penyelidik Thailand menemui spesimen kajian ular spesis itu di wilayah Trang, kira-kira 170 kilometer dari Perlis.

“Spesimen pertama ular kapak batu kapur alis mata di Thailand dikutip pada tahun 2016 dan disimpan di taman ular Queen Saovabha Memorial Institute, Bangkok sehingga tahun 2022.

“Bermula Januari 2023, para penyelidik memulakan semula pencarian spesimen dan memperolehi lebih kurang empat spesimen tambahan.

“Ia bagi dijalankan analisa DNA dan mengenalpasti ciri morfologi untuk disahkan melalui penerbitan kertas saintifik sebagai spesis baru di selatan Thailand pada September 2023,” tulis perkongsian PNX lagi.

Menurut PNX, sebelum ini ular kapak cantik (tremeresurus venustus) pernah direkodkan ditemui di Langkawi.

“Di Malaysia hanya ular kapak cantik (tremeresurus venustus) direkodkan di Langkawi bagi kategori spesis ular kapak penghuni batu kapur,” tambahnya lagi.