Sorok 340 kilogram daun ketum dalam lori

Sorok 340 kilogram daun ketum dalam lori

Polis menahan empat lelaki bersama 68 bungkusan ketum seberat 340 kilogram yang disimpan di dalam sebuah lori dalam serbuan di sebuah premis dekat Sungai Durian, Jejawi dekat Kampung Gajah malam tadi.

Serbuan pukul 10.40 malam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah selepas mendapat maklumat daripada orang awam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Baruddin Wariso berkata, siasatan yang dijalankan ke atas semua suspek rakyat tempatan berusia 22 hingga 28 tahun itu mendapati tiga daripada mereka adalah sekampung manakala seorang lagi yang bertindak sebagai pemandu lori berasal dari Batu Caves, Selangor.

“Kesemua lelaki terbabit mengakui menjalankan kegiatan memetik, membungkus dan mengedarkan daun ketum yang belum diproses untuk dipasarkan ke Lembah Klang.

“Siasatan awal dilakukan mendapati tiga lelaki bertindak sebagai tukang petik dan tukang bungkus manakala pemandu lori akan membawa muatan plastik hitam tersebut dengan disembunyikan bersama barangan lain yang berselindung atas kapasiti lori pengangkutan barang” katanya di sini hari ini.

Katanya, pemandu lori terbabit dikesan mempunyai enam jenayah lampau berkaitan narkotik dan satu rekod jenayah berkaitan rompak manakala salah seorang daripada tiga yang lain mempunyai enam rekod lampau berkaitan dadah.

Baruddin berkata, suspek mengakui mengambil peluang mengedarkan daun ketum yang belum diproses di kawasan kampung sekitar dan memperolehi tempahan daripada pembeli di sekitar Lembah Klang.

Katanya, kegiatan itu dipercayai dilakukan sejak hujung tahun lalu dan mereka memperolehi keuntungan dan upah sebanyak RM30 untuk setiap bungkusan.

“Difahamkan, kekerapan pembungkusan dan urusan pengedaran ini adalah sekitar sekali setiap minggu dan usaha mengesan rangkaian pembeli serta orang tengah kini giat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Katanya, kesemua suspek direman selama lima hari bermula hari ini hingga 10 Februari bagi membantu siasatan. – KO