Sophia Albarakbah enggan melatah walau sering tertanya mengapa netizen membencinya

Sophia Albarakbah enggan melatah walau sering tertanya mengapa netizen membencinya

 

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Tapi nak kata apa? Teruskan sahaja kehidupan sebaik mungkin dengan tekad enggan mengulangi perkara lama.

Alahai, agaknya inilah penyesalan yang dirasakan pelakon jelita Malaysia, Sophia Albarakbah, 30 tahun, setelah meluahkan isi hatinya dan mengaku terpaut pada suami orang dahulu.

Suami orang yang dimaksudkan adalah penyanyi dan pelakon kelahiran Singapura, Aliff Aziz, 32 tahun.

Kededuanya dipasangkan dalam drama, Ku Akad Kau Dengan Bismillah, di mana timbullah rasa demikian sehingga Sophia didakwa mengganggu rumah tangga Aliff dengan pelakon dan penyanyi Bella Astillah, 29 tahun.

Gara-gara peristiwa itu, sampai sekarang sesetengah warganet dikatakan mengkritik dan mengecamnya sehingga ada yang menyatakan mereka terus terang membencinya.

Mengulas situasi demikian, Sophia yang ditukil laman web, Utusan Malaysia, berkata:

“Saya hidup dengan prinsip, setiap perkataan, tindakan atau kecaman yang berunsurkan negatif daripada anda, anda sendiri yang akan tanggung akibat serta dosanya.”

Beliau diajukan soalan wartawan bagaimana beliau boleh kekal tenang biarpun berdepan kecaman dan kritikan melampau daripada segelintir warganet berkaitan pelbagai isu.

Jelasnya, segelintir pihak memilih untuk melontarkan kecaman dan melabelnya dengan gelaran yang bersifat kebencian biarpun tidak mengetahui jalan cerita dan apa sebenarnya yang berlaku.

“Mereka tak kenal saya pun. Tak tahu apa yang sebenarnya berlaku, tetapi memilih untuk membenci saya.

“Saya percaya kepada kuasa Tuhan. Selagi saya menjaga hubungan dengan Dia, bercakap dengan-Nya, Dia akan menolong saya. Tuhan lebih tahu.

“Biar orang buat kita, tapi jangan kita buat orang,” ujarnya menerusi satu perkongsian kisah di Instagram.

Dalam sesi soal jawab pula, pelakon Jerangkung Dalam Almari itu turut mendedahkan beliau sebenarnya sentiasa berasa tidak selesa dan kurang yakin sehingga memilih untuk tidak terlalu banyak berkongsi gambar di media sosial.

“Saya sentiasa rasa ada yang tak kena. Itu adalah salah satu sebab saya jarang memuat naik gambar di media sosial berbanding orang lain, mungkin,” katanya.

Bagaimanapun, lumrah hidup artis. Pelakon zaman dahulu pun ada juga yang sampaikan diludah atau dicerca peminat di khalayak ramai.

Semua ini berlaku kerana watak antagonis yang ‘jahat sangat’ sehingga kurang menyenangkan hati penonton.

Bagi warganet pun, berilah ruang untuk Sophia lakukan sesuatu yang positif. Sayang jika potensinya dalam industri hiburan terhenti hanya kerana isu ‘penyondol’ ini.