Soalan lazim – Pembentukan kerajaan minoriti

Soalan lazim – Pembentukan kerajaan minoriti

 

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam memberi gambaran kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya telah hilang majoriti dengan mencadangkan persefahaman rentas parti untuk membentuk kerajaan bi-partisan.

Perkembangan terbaharu susulan beberapa Ahli Parlimen telah menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, ia turut memberi gambaran kerajaan hari ini adalah kerajaan minoriti.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat hari ini berkongsi di Facebooknya soalan lazim mengenai kerajaan minoriti.

Berikut adalah perkongsian beliau:

  1. Adakah Perlembagaan Persekutuan menyebut atau merujuk kepada Kerajaan Minoriti?

TIADA.

  1. Bolehkah seorang Perdana Menteri yang telah mendapat mandat dari Ahli-ahli Parlimen di waktu pembentukan Kerajaan Campuran membuat pengakuan secara terbuka bahawa beliau sekarang adalah Perdana Menteri sebuah Kerajaan Minoriti kerana telah hilang sokongan?

TIDAK BOLEH, kerana beliau harus meletakkan jawatan dahulu sebagai Perdana Menteri menurut Perkara 43(4) Perlembagaan.

  1. Bagaimana jika seorang Ahli Parlimen yang tidak mempunyai sokongan Majoriti Ahli-ahli Parlimen boleh menawarkan diri sebagai PM , apa yang beliau perlu lakukan ?

Langkah Pertama

Artikel 43(2)(a) Perlembagaan tidak menghalang Yang di-Pertuan Agong (“YDPA”) untuk menjemput mana-mana Ahli Parlimen untuk menawarkan dirinya sebagai Ketua Kerajaan, dengan syarat beliau mendapat mandat dari majoriti Ahli Parlimen. Penekanan yang diberikan disini ialah, usul ini seharusnya datang daripada Ahli-ahli Parlimen dan bukan Parti Politik.

Langkah Kedua

Jika tiada sesiapa di antara Ahli Parlimen yang boleh mendapat mandat majoriti, maka seseorang Ahli Parlimen itu boleh membawa tawaran Kerajaan Minoriti bersama bilangan Ahli Parlimen yang memberi sokongan bersyarat, melalui persetujuan “Confidence and Supply Agreement (CSA)” atau “Perjanjian Keyakinan dan Bekalan” kepada beliau.

  1. Apakah peranan Raja Berperlembagaan dalam melantik Perdana Menteri menurut Perlembagaan Persekutuan?

Perlembagaan Persekutuan tidak mewajibkan YDPA untuk membentuk Kerajaan Malaysia ataupun menghendakkan Seri Paduka Baginda bertindak sebagai perunding atau orang tengah bagi pihak parti-parti politik untuk membentuk sebuah Kerajaan. Sebaliknya, tanggungjawab YDPA adalah hanya untuk melantik seorang Ahli Parlimen yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli-ahli Parlimen.

Kedua-dua langkah yang disebutkan di dalam perkara 3 di atas berdasarkan Budi-bicara YDPA di bawah Artikel 40(2) Perlembagaan, di mana Ahli Parlimen yang dipilih oleh jemaah Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri mempunyai keabsahan oleh kerana beliau memenuhi syarat dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa YDPA hendaklah melantik “seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu” sebagai Perdana Menteri.

  1. Apakah maksud “Confidence and Supply Agreement” (“CSA”) atau “Perjanjian Keyakinan dan Bekalan”?

CSA adalah perjanjian bertulis diantara sebuah parti politik atau beberapa Ahli Parlimen bersama pihak Kerajaan Minoriti berkenaan apa-apa usul undi kepercayaan (“keyakinan”), rang undang-undang yang mustahak atau undi perbekalan atau bajet yang bakal dibentangkan dan diputuskan melalui proses pengundian di dalam Dewan Rakyat kelak.

  1. Bagaimanakah pihak Kerajaan boleh menggunapakai CSA dalam konteks politik semasa?

Pihak Kerajaan boleh menawarkan sejumlah wang (“bekalan”) sebagai peruntukan untuk kegunaan pusat khidmat rakyat di kawasan Ahli-ahli Parlimen dan sebagai balasan, Ahli Parlimen tersebut wajib memberikan sokongan, yakni undi mereka terhadap PM8 selaku Perdana Menteri apabila usul-usul dibentangkan, sebagai contoh undi percaya yang akan dibentangkan di sesi Parlimen ke-14 pada bulan September nanti.

  1. Apakah kesan perundangan yang akan timbul sekiranya CSA dipersetujui?

Kesan perundangan yang paling ketara ialah Kerajaan Perikatan Nasional akan menjadi Kerajaan Minoriti yang pertama di dalam sejarah Malaysia. Secara ringkas, Kerajaan Minoriti ialah sebuah kerajaan di mana Kabinet Menteri diketuai oleh Perdana Menteri yang tidak mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Oleh itu, keabsahan seorang Perdana Menteri Kerajaan Minoriti amat bergantung pada perjanjian-perjanjian CSA.

  1. Apakah kelemahan sesebuah Kerajaan Minoriti?

Kerajaan Minoriti yang tidak dibentuk dan dikendalikan dengan baik akan mudah tergugat dan tidak akan bertahan lama, kerana Kerajaan Minoriti akan menghadapi kesulitan dalam meluluskan rang undang-undang di Parlimen. Ini akan menjejaskan kebolehan Kerajaan untuk mentadbir dan mengurus sesebuah negara.

  1. Apakah perbezaan diantara Kerajaan Campuran (Coalition) dengan Kerajaan Minoriti?

Kerajaan Campuran terbentuk apabila adanya parti-parti politik yang bersetuju untuk bergabung, di mana jumlah bilangan Ahli Parlimen cukup untuk membuktikan bahawa Kerajaan Campuran ini mempunyai mandat majoriti. Kerajaan Campuran berlandaskan dasar dan agenda bersama yang terkandung dalam suatu perjanjian bertulis. Ahli-ahli Parlimen yang mewakili parti-parti di dalam Kerajaan Campuran ini mempunyai kewajipan untuk menyokong semua rang undang-undang yang dibentangkan oleh Kerajaan di dalam Parlimen, seperti mana yang telah disepakatkan di dalam perjanjian bertulis tersebut.

AZALINA OTHMAN SAID
Ahli Parlimen Pengerang
(tulisan ini dipetik daripada Facebook beliau)

Sumber: Malaysiapost