Siti Saleha menang Anugerah Bintang Asia Terbaik – Malaysia di Korea

Siti Saleha menang Anugerah Bintang Asia Terbaik – Malaysia di Korea

 

Pelakon Siti Saleha, 34, dinobatkan pemenang trofi Bintang Asia Terbaik – Malaysia di Anugerah Drama Antarabangsa Seoul 2024 yang berlangsung Seoul, Korea Selatan, hari ini.

Saleha atau nama sebenarnya Siti Saleha Mohd Baharum berkata dia sememangnya sangat bangga sebagai anak Malaysia dengan pencapaian terbarunya di peringkat antarabangsa itu.

“Siapa tak nak dapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Pencapaian ini sangat besar maknanya buat saya secara peribadi. Ia menjadi bukti bahawa bakat tempatan kita juga diiktiraf di luar.

“Saya berharap pencapaian ini akan membuka peluang ke depan yang lagi besar. Ramai saja anak-anak seni kita yang menunggu masa untuk menjual bakat mereka ke luar pula.

“Menerusi platform ini juga, saya harap ia mampu membuka mata untuk orang luar peduli mengenai bakat-bakat dari negara ini pun bagus-bagus belaka,” katanya.

Saleha memenangi kategori itu menerusi pembabitannya dalam drama siri asal tonton berjudul SeOfis.

Kategori dimenanginya itu adalah kategori istimewa jemputan pelakon-pelakon dari sekitar Asia.

Pemenang lain termasuk Wooseok Byeon dan Hyeyoon Kim dari Korea Selatan, Desmond Tan (Singapura), Ochi Rosdiana (Indonesia), Metawin Opas-lamkajorn (Thailand), dan Kim Chiu (Filipina).