Siram pokok durian waktu malam punca tekanan air rendah – Menteri Besar Kedah

Siram pokok durian waktu malam punca tekanan air rendah – Menteri Besar Kedah

 

Kerajaan negeri mengesan terdapat aktiviti menyiram pokok durian menggunakan sumber bekalan air terawat pada waktu malam sehingga dikhuatiri menjadi antara punca berlaku tekanan air rendah yang lebih serius di daerah Sik.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata kedudukan kawasan dusun durian yang jauh dari sumber air seperti tali air menyebabkan petani terpaksa menggunakan sumber air berkenaan.

Beliau bagaimanapun tidak memaklumkan luas kawasan dusun durian terbabit.

“Selalunya tekanan air akan lebih laju pada waktu orang tidur iaitu antara jam 1 hingga 6 pagi, penduduk akan kumpul air dalam tangki pada waktu itu.

“Tetapi kita jumpa satu trend, air menyusut pada waktu berkenaan di mana kita menyimpulkan ada aktiviti penyiraman dan simpan air di dusun untuk siram pokok durian seperti musang king dan duri hitam,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu gangguan bekalan air yang berlaku di beberapa kawasan di Sik termasuk di Jeneri ketika ini akibat musim kemarau.

Menerusi Facebook beliau baru-baru ini, Menteri Besar itu turut memuat naik gambar beliau memandu lori dan menghantar sendiri bekalan air kepada penduduk yang terjejas di daerah Sik.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, berkata tindakan itu menyebabkan penduduk yang tinggal di kawasan hujung paip tidak mendapat bekalan air pada waktu siang dan malam.

“Kos air terawat kos tinggi, walaupun dia (penduduk) bayar bil itu tetapi menyebabkan sistem (bekalan air) kita mengalami penurunan tekanan,” katanya.

Beliau berharap penduduk yang mengusahakan tanaman pokok durian itu mencari alternatif lain untuk menyiram pokok tanpa menggunakan bekalan air terawat.

Pada 21 Januari lalu, Pengarah Pejabat Meteorologi Kedah, Muhammad Khalil Abd Aziz, berkata cuaca panas yang melanda Kedah sejak awal tahun ini dijangka berlarutan sehingga hujung Mac atau awal April depan.

Menurutnya, keadaan itu berlaku kerana Kedah kini berada di fasa kedua Monsun Timur Laut.

Terdahulu, Muhammad Sanusi ditemui selepas menyerahkan hamper dan ang pau sempena Tahun Baharu Cina di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Pada majlis itu seramai 20 warga emas dan keluarga miskin berketurunan Cina menerima sumbangan berkenaan.