Sir Azri buntu keahlian Umno digantung 6 tahun, dakwa belum terima makluman rasmi

Sir Azri buntu keahlian Umno digantung 6 tahun, dakwa belum terima makluman rasmi

 

EXCO Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo, mengakui buntu mengenai status keahliannya dalam parti itu.

Ini kerana beliau mendakwa menerima satu pesanan melalui aplikasi WhatsApp semalam daripada Setiausaha Kerja Pemuda Umno menyatakan dirinya digantung keahlian selama enam tahun.

Bagaimanapun, Wan Muhammad Azri menyatakan beliau tidak mendapat makluman rasmi daripada Ibu Pejabat Umno atau Pejabat Pemuda Umno, setakat ini.

“Setakat hari ini, saya tidak dapat makluman daripada Ibu Pejabat Umno atau Pejabat Pemuda Umno berkaitan isu pengantungan ini.

“Cuma saya dapat sebaran WhatsApp, ada orang sampaikan kepada saya menyatakan bahawa saya digantung enam tahun.

“Tetapi saya tak dapat pengesahan dari mana-mana pihak termasuk daripada Ketua Pemuda Umno berkaitan isu ini,” katanya kepada Malaysiapost.

Pada masa sama, Wan Muhammad Azri memaklumkan beliau telah dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp Exco Pemuda Umno Malaysia.

Beliau percaya tindakan tersebut kemungkinan mempunyai kaitan dengan isu penggantungan keahliannya dalam Umno.

“Ketua Pemuda remove saya dari group itu, tak tahu kenapa. Mungkin juga isu ini (digantung keahlian).

“Saya tertunggu-tunggu juga (panggilan atau pengesahan) jika digantung mesti ada pengumuman rasmi atau Ketua Pemuda akan menelefon saya kerana saya Exco Pemuda Umno. Jadi saya pun tak tahu ini betul atau tidak,” katanya.

Tambah Wan Muhammad Azri, sekiranya benar perkara itu, mesti beliau orang pertama dimaklumkan mengenainya.

“Saya nak cakap tentang hal ini pun susah kerana saya tidak pernah dipanggil Lembaga Disiplin sebab prosedurnya akan melalui Lembaga Disiplin dulu.

“Tiba-tiba dapat mesej saja, jadi kelirulah dekat situ. Contoh Tun Faisal, beliau dipanggil, kemudian baru digantung oleh Lembaga Disiplin Umno,” katanya.

Sehubungan itu, Wan Muhammad Azri berkata, tanpa makluman rasmi, beliau akan terus menjalankan tanggungjawab sebagai Exco Pemuda Umno.

Pada 28 April lalu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata seorang Exco pergerakan itu akan dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti berikutan tindakannya yang didakwa bercanggah dengan pendirian Umno dalam soal hubungan dengan Bersatu.

Bagaimanapun, Asyraf Wajdi tidak mendedahkan nama individu terbabit dan menyerahkan kepada Lembaga Disiplin serta Majlis Tertinggi Umno membuat keputusan.

Sebelum itu, sekumpulan ahli Umno Bahagian Wangsa Maju menyerahkan laporan salah laku Wan Muhammad Azri kepada Lembaga Disiplin.

Dalam laporan itu, Wan Muhammad Azri didakwa melanggar Perlembagaan Umno menggunakan Facebook miliknya sama ada dalam bentuk kenyataan bertulis mahupun rakaman video.

Hantaran itu antara lain didakwa cuba memujuk akar umbi dan pemimpin Umno untuk bersama dengan Bersatu sedangkan keputusan Perhimpunan Agung Umno 2020 menolak kerjasama itu.

Sumber: Malaysiapost