Sindiket Macau Scam berjaya ditumpaskan – Polis Perak

Sindiket Macau Scam berjaya ditumpaskan – Polis Perak

Polis Perak berjaya menumpaskan sindiket penipuan melalui panggilan telefon atau Macau Scam susulan yang mana pusat panggilannya di negara ini selain menyasarkan warga tempatan sebagai mangsa.

Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Goh Boon Keng berkata hasil aduan seorang mangsa wanita di sini, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak serta Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman telah menjalankan siasatan selama seminggu.

Hasilnya satu seramai 18 lelaki dan empat perempuan tempatan telah ditahan dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di Sri Petaling Kuala Lumpur pada 30 Oktober pukul 5 petang.

Katanya  ketika serbuan dilakukan kesemua suspek yang berumur antara 18 ke 27 tahun itu sedang sibuk melakukan sindiket penipuan tersebut.

Selain itu katanya turut dirampas 34 telefon bimbit pelbagai jenis, tiga komputer riba, 25  iPad, satu tablet dan sebuah kereta.

“Hasil pemeriksaan ke atas iPad yang dirampas, kita telah menjumpai skrip yang digunakan ahli-ahli sindiket untuk menipu mangsa. Ia ditulis dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Cina dan Inggeris.

“Daripada itu, kami mempercayai mereka ini telah dilatih untuk memperdayakan orang ramai,” katanya dalam satu sidang media di IPK Perak, di sini, hari ini.

Katanya hasil siasatan awal polis mengesyaki sindiket tersebut telah terlibat dengan 76 kes Macau Scam seluruh negara yang membabitkan kerugian RM11 juta.

Menurut Boon Keng, pada 19 Oktober mangsa telah menerima panggilan telefon yang mendakwa daripada Pos Laju Kuala Lumpur.

Katanya mangsa diberitahu telah membuat kiriman barang ke Kuantan, Pahang pada 16 Oktober dan ianya ditahan di Sabah.

“Selepas mangsa menafikan, panggilan telefonnya dikatakan telah disambung kepada IPK Sabah sebelum seorang ‘Sarjan’ memberitahu mangsa harus datang ke  IPK Sabah untuk membuat laporan penafian.

“Panggilannya kemudian disambungkan kepada individu yang menyamar sebagai ‘Inspektor Leong’ dan mendakwa mangsa telah terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram,” ujarnya.

Tambahnya bimbang akaun banknya dikatakan akan dibeku, mangsa kemudian membuat pindahan wang berjumlah RM67,000 kepada dua akaun bank yang berlainan sebelum mengesyaki dirinya telah ditipu.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini telah aktif sejak lebih kurang dua tahun dan kita mempercayai ahli-ahli sindiket itu sebelum ini terlibat dengan kegiatan penipuan sama di luar negara.

“Mereka dipercayai pulang ke Malaysia disebabkan COVID-19  dan kemudian melakukan penipuan di sini. Ini kali pertama pihak polis berjaya menumpaskan sindiket Macau Scam yang beroperasi dalam negara dan melakukan penipuan kepada warga tempatan,” katanya.

Katanya siasatan terhadap kesemua mereka yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau masih diteruskan bagi mengenal pasti ketua sindiket yang terlibat

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis sedang perintah sambung reman daripada mahkamah terhadap kesemua suspek.

Sumber: Perak Today