Sindiket curi kereta mewah Geng Ah Beng tumpas

Sindiket curi kereta mewah Geng Ah Beng tumpas

 

Satu sindiket mencuri kereta mewah dikenali Geng Ah Beng tumpas dengan tertangkapnya 10 ahlinya, termasuk tiga wanita, di Perak, Pahang, Kedah dan Johor dalam Operasi Lejang Mewah antara 17 hingga 22 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, semakan ke atas kesemua suspek yang berumur antara 35 hingga 62 tahun itu mendapati enam daripadanya mempunyai rekod lampau mencuri kenderaan, dadah dan lain-lain kesalahan.

“Hasil tangkapan itu pasukan kami berjaya merampas tiga kereta curi serta pelbagai barang komponen yang digunakan untuk mencuri kenderaan mewah dengan aktif sejak April tahun ini di sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pahang dan Perak,” lapor Malaysia Gazette.

“Modus operandi Geng Ah Beng ini adalah mereka mencuri kenderaan mewah di taman perumahan atau apartmen bermula pada waktu malam sehingga awal pagi,” katanya selepas majlis Pelupusan Barang Kes Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, hari ini.

Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati geng berkenaan menggunakan sejenis peranti khas, key programmer, yang diperolehi dari luar negara dan memasukkannya dalam soket di bawah stering untuk menduplikasikan sistem elektronik serta melumpuhkan sistem keselamatan kenderaan sebelum menghidupkan enjin.

Proses tersebut mengambil masa kira-kira dua minit, ujarnya.

“Sindiket ini juga menggunakan peralatan khas atau ‘jammer’ untuk menyekat aplikasi Sistem Kedudukan Global (GPS) bagi mengelak kenderaan yang dicuri mudah dijejaki pemilik asal atau polis, jelasnya.

Menurut Zainal Mohamed, kereta yang dicuri akan dibawa ke satu lokasi khusus dan tersembunyi untuk diserahkan kepada orang tengah, iaitu suspek berusia 62 tahun, untuk dijual di negara jiran pada harga antara RM7,000 hingga RM25,000.

Tambah beliau, dengan tumpasnya sindiket itu, polis menyelesaikan 23 kes curi kenderaan dengan tujuh kes di Selangor, Johor (lapan kes), Kuala Lumpur (empat kes), Perak (tiga kes) dan Pahang (satu kes).

Katanya, kesemua suspek masih direman di IPD Gombak dan polis masih mengesan saki baki ahli sindiket berkenaan yang masih bebas.

Zainal Mohamed berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.