Siap tujuh hari lagi

Siap tujuh hari lagi

 

“Alhamdulillah syukur ketika dalam keadaan masih trauma ada yang datang menjenguk kami dan bantu tampung kos baiki rumah yang rosak,” kata mangsa ribut dan puting beliung bulan lalu di Taman Tasek Damai, Hamzah Majid, 54.

Bapa kepada lima anak itu mengakui masih trauma dan bantuan benar-benar meringankan beban berikutan dirinya yang bekerja sebagai pemandu lori.

“Kalau hendak diikutkan memang tidak tertanggung kerugian memandangkan kos memang tinggi.

“Lega rasanya, bantuan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban yang terpaksa ditanggung,” katanya di Program Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Prihatin di Taman Tasek Damai yang dihadiri Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Pengarah Kinta Properties Sdn Bhd Edwin Tan Beow Aik, hari ini.

Hamzah berkata, dia tinggal di rumah berkenaan bersama isteri dan lima anak berusia 11 tahun hingga 27 tahun.

“Selepas rumah rosak teruk dilanda ribut sebelum ini, saya tinggal sekejap buat sementara waktu di rumah ahli keluarga yang lain,” katanya.

Manakala seorang lagi mangsa ribut, Wong Chun Chean, 83, pula mengakui lega bantuan yang dihulurkan tidak henti-henti daripada beberapa pihak sejak kejadian ribut dan puting beliung ngeri itu berlaku.

“Sebelum ini anak-anak juga sudah membelanjakan kos untuk menutup sementara atap yang sudah melayang semasa ribut.

“Hari itu masa tengok atap melayang kami rasa sangat susah hati, sekarang hati ada sikit senang tengok orang datang bantu kami,” katanya.

Katanya, tidak dapat digambarkan juga perasaan sedih peristiwa yang berlaku beberapa hari sebelum Tahun Baru Cina.

Sementara itu Rumaizi berkata kerja-kerja pembaikan rumah yang rosak akan mengambil masa selama seminggu untuk disiapkan.

Katanya, syarikat pemaju perumahan, Kinta Properties Sdn Bhd turut tampil menyalurkan peruntukan penambahbaikan sebanyak RM40,000, untuk membaik pulih 44 rumah yang rosak di Taman Tasek Damai di daerah Kinta di sini.

“Peruntukan ini digunakan untuk kerja-kerja membaiki kerosakan bumbung rumah penduduk yang tercabut diterbangkan angin disebabkan puting beliung, yang berlaku baru-baru ini.

“Bagaimanapun, pihak Kinta Properties bersedia untuk menambah lagi peruntukan sekiranya ada keperluan tambahan,” katanya.