Shuib dedah punca enggan lagi terlibat dalam ‘Sepahtu Reunion’

Shuib dedah punca enggan lagi terlibat dalam ‘Sepahtu Reunion’

 

SELEPAS lebih setahun tidak terlibat dalam mana-mana program televisyen dan aktiviti pentas, pelawak dan penyampai radio Suria FM iaitu Shuib memberitahu dia kini sudah bersedia untuk kembali aktif mewarnai industri hiburan tanah air.

Keputusan Shuib itu cukup mengujakan peminat dan rata-ratanya mahu dia kembali menyertai program Sepahtu Reunion yang pernah dijayakan sebelum ini bersama Jep, Rahim dan Pak Ya.

Menyedari hasrat peminat itu, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 38, bagaimanapun menjelaskan dia tidak mungkin kembali menyertai program berkenaan di atas sebab-sebab tertentu.

shuib 2

“Ada sebab mengapa saya tidak mahu lagi terlibat dalam program tersebut. Pihak pengurusan tertinggi produksi tahu jawapannya dan saya anggap mereka bertanggungjawab kenapa saya tidak ada lagi dalam program tersebut.

“Mereka ada berbincang untuk saya kembali. Namun rasanya tidaklah buat masa ini. Saya pun tak mahu nak panjangkan cerita dan komen lanjut tentang apa yang telah terjadi,” katanya kepada mStar.

Bukan sahaja tidak terlibat dalam program Sepahtu Reunion, Shuib juga menolak kemungkinan akan kembali bergabung di bawah kumpulan tersebut untuk mana-mana program pentas.

Dalam masa sama, Shuib juga menafikan wujud sebarang perselisihan faham antara dirinya dengan ahli kumpulan lain termasuklah Mamat yang merupakan anggota asal kumpulan Sepah bersama Jep.

“Saya dengan Mamat pun sudah lama tidak berhubung. Walau tinggal berdekatan, kami tidak pernah berjumpa. Takut nak katakan tidak mahu kembali bersama kerana saya tak tahu apa yang akan terjadi kemudian hari.

“Bagaimanapun buat masa sekarang saya boleh katakan tidak akan bergabung kembali.

“Orang mungkin kata hubungan kami tidak baik… sebenarnya tidak ada sebarang masalah pun. Cuma masing-masing sibuk dengan kerja sendiri,” ujarnya.

Shuib yang baru memulakan kembali kerjaya sebagai penyampai radio di stesen Suria FM mengakui dia kini lebih selesa membawa haluan sendiri.

Kata Shuib kesibukan kerja merupakan cara terbaik dia mengurangkan kesedihan selepas pemergian isteri tercinta, Allahyarham Siti Sarah yang meninggal dunia akibat Covid-19 pada Ogos tahun lalu.

shuib 3

“Saya lebih selesa jalan sendiri dan buat perkara untuk kegembiraan sendiri. Contohnya menyertai Suria FM juga adalah perkara yang buat saya gembira.

“Kesedihan lalu pun belum dapat saya ubat sepenuhnya. Masih lagi teringat apabila pulang ke rumah. Jadi saya harap apa yang saya buat di masa akan datang ini menggembirakan diri sendiri,” jelasnya.