“Tak bayar caruman bukan ujian, itu namanya aniaya orang” – Netizen bidas Shuib
“Tak bayar caruman bukan ujian, itu namanya aniaya orang” – Netizen bidas Shuib.
Gara-gara penjelasan yang diberikan, netizen pertikai Shuib yang menganggap denda RM17,500 yang dikenakan ke atas syarikatnya, Bubblebee Sdn. Bhd termasuk tujuh pertuduhan seperti mana diperintahkan oleh Mahkamah Majistret semalam sebagai ujian dalam perniagaan.
Menerusi ciapan tular dimuat naik pengguna platform X, SyedAkramin menegaskan apa yang dihadapi oleh Shuib selaku pengarah Bubblebee bukanlah ujian perniagaan, sebaliknya bentuk penyeksaan dan penganiayaan buat para pekerja.
Menurutnya, sekiranya salah seorang pekerja Shuib di Bubblebee ditimpa kemalangan, individu berkenaan tidak akan menerima pampasan jika syarikat tersebut tidak membayar caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Shuib, kau tak bayar caruman PERKESO pekerja. Kalau pekerja kau ditimpa kemalangan, 1 sen pampasan pun dia tak dapat.
“Itu namanya aniaya orang Shuib, bukan ujian,”katanya.
Terdahulu, pelawak yang juga pengarah Bubblebee, Shuib akur akan denda yang telah dijatuhkan Mahkamah Majistret sebanyak RM17,500 atas tujuh pertuduhan termasuk tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) 2 tahun lalu.
Mengakui kekhilafannya, usahawan tersebut berkata tindakan undang-undang yang telah dikenakan merupakan pengajaran agar tidak terlepas pandang perkara-perkara penting yang membabitkan kebajikan pekerja.
Sekadar info, Mahkamah juga memerintahkan mereka dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda yang dikenakan berkenaan.
Mengikut tiga pertuduhan, syarikat itu mengaku bersalah atas tuduhan, sebagai majikan utama kepada seorang lelaki berusia 25 tahun, gagal membayar caruman majikan dan pekerja kepada Perkeso membabitkan bulan Oktober hingga Disember 2023 lalu, berjumlah keseluruhan RM97.80.
Mahkamah juga membenarkan syarikat berkenaan membuat bayaran ansuran sebanyak enam kali bagi tunggakan caruman kepada Perkeso.
Ia sebagai mana dikehendaki mengikut Seksyen 6 (1) dan (8) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Peraturan 32, Peraturan-Peraturan Am Keselamatan Sosial Pekarja 1971.
Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, Bubblebee mengaku bersalah gagal membayar caruman keseluruhan RM17.40 bagi lelaki sama untuk tiga bulan yang serupa mengikut Sesyen 18 (1) Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) dan Peraturan 9 (1) Peraturan-Peraturan Sistem Insurans Pekerjaan (Pendaftaran dan Caruman) 2017.
Semua perbuatan itu dilakukan di syarikat berkenaan di Taman Industri Alam Perdana, Taman Putra Perdana Puchong pada jam 8.30 pagi setiap tarikh 16 hari bulan untuk November 2023 hingga Januari lalu.
Bagi pertuduhan ketujuh, syarikat berkenaan didakwa gagal mematuhi saman bawah Seksyen 110 (1) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 di Pejabat Perkeso Selangor, pada jam 11 pagi, 10 Januari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 110 (2) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.