Shuhada dikecam muat naik gambar main dukung-dukung dengan Hafidz Roshdi

Shuhada dikecam muat naik gambar main dukung-dukung dengan Hafidz Roshdi

 

Bekas isteri pelakon Hafidz Roshdi, iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri dikecam pengikut Instagram (IG) apabila berkongsi foto menampakkan dirinya didukung jejaka yang ditutup wajah dengan emoji, dipercayai bekas suaminya itu.

Nurul Shuhada yang juga usahawan menawarkan pelbagai jenis barangan, berkongsi hantaran itu dipercayai bagi mempromosikan produk kurus.

Rata-rata pengikut IG meninggalkan komen tidak bersetuju dengan tindakan Nurul Shuhada memaparkan foto terbabit, malah, ada yang mendakwa ibu tunggal yang memiliki dua cahaya mata itu masih belum ‘move on’ selepas berpisah dengan Hafidz.

Pengikut IG mendakwa banyak lagi gambar yang boleh digunakan untuk menunjukkan perbezaan berat badannya. Bagi mereka, tiada keperluan untuk dia memuat naik foto bersama Hafidz.

“Memang untuk kerja, tapi jauh lebih baik tak perlu nak kaitkan masa lampau dengan masa depan kita. Saya pasti banyak gambar lain yang lebih menonjol lemak itu.

“Berdamai dengan takdir Allah dan lupakan yang lepas. Kita boleh tipu orang dah move on tapi cara dan perbuatan kita akan tunjuk yang sepatutnya.

“Andai kata betul sudah move on, jangan la guna populariti atau gosip macam ini sebagai punca rezeki diri dan anak-anak. Jangan libatkan dia (Hafidz). Jangan ada sifat dendam dengan masa lalu. Biar kejahatan dia Allah yang balas, Insya-Allah hidup lebih tenang,” antara komen yang ditinggalkan netizen.

Tidak berdiam diri, Nurul Shuhada membalas komen ditinggalkan dan memaafkan pengikut terbabit jika tuduhan itu berbaur fitnah.

“Jika apa yang awak cakap ini, jatuh fitnah ke atas saya, fitnah saya tak berdamai dengan takdir, fitnah saya berdendam… Macam mana nanti awak hendak tenang dalam kehidupan?

“Awak nak masuk syurga? Tidak mengapa, saya maafkan awak,” katanya.

Sebelum ini, Nurul Shuhada pernah dikecam dan dianggap tidak ‘move on’ apabila berkongsi video memasak sambal sotong yang dikatakan juadah kegemaran bekas suami.

Pada 27 Julai lalu, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam memutuskan lafaz cerai talak satu Hafidz terhadap Nurul Shuhada secara lisan pada 22 Februari lalu sah dan mengikut hukum syarak.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata, Humairah, 6, dan Umar, 2.