Shopee ambil tindakan akaun jual patung seks budak-budak

Shopee ambil tindakan akaun jual patung seks budak-budak

 

PLATFORM e-dagang Shopee akan mengambil tindakan susulan laporan mengenai penjualan patung seks menyerupai kanak-kanak yang dijual di platformnya.

Shopee dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menurunkan penyenaraian produk itu dan mengenakan larangan kekal terhadap akaun penjual terbabit.

Tindakan itu diambil serta-merta sebaik menyedari mengenai perkara tersebut. Selain itu Shopee juga sedang menyiasat semua akaun penjual yang terlibat.

Shopee turut menasihatkan orang ramai untuk memfailkan aduan berhubung penjual atau produk yang disenaraikan di platform itu yang tidak mematuhi polisinya.

Terdahulu, seorang pengguna media sosial mengecam penjualan patung seks berupa kanak-kanak di Shopee.

Dia memberitahu bahawa rakannya terjumpa patung seks itu dijual ketika melayari platform berkenaan.

“Dia terjumpa patung seks (dijual di Shopee), itu tak apalah. Tetapi yang salahnya, patung-patung ini menyerupai kanak-kanak,” katanya.

Dia turut berkongsi pautan Shopee yang menjual patung-patung berkenaan pada harga antara RM1,400 hingga RM1,500 setiap satu.