Sham Mat Sahat akan jumpa Saarani selesaikan isu tunggakan gaji Perak FC

Sham Mat Sahat akan jumpa Saarani selesaikan isu tunggakan gaji Perak FC

Bendahari Perak FC Datuk Sham Mat Sahat akan mengadakan perjumpaan bersama Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad dalam tempoh terdekat berhubung isu tunggakan gaji pemain.

Beliau berkata pertemuan itu bertujuan untuk meyakinkan Saarani bahawa tunggakan gaji selama dua bulan perlu dijelaskan segera.

“Sebelum ini saya berjanji akan berjumpa dengan Menteri Besar untuk selesaikan tunggakan gaji seboleh-bolehnya sebelum hari raya Aidilfitri tetapi kalau tak sempat selepas hari raya ini,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, pada Sabtu.

Menurutnya, Perak FC telah menjelaskan tunggakan gaji pemain selama empat bulan bagi November, Disember, Januari dan Februari berjumlah RM3.5 juta dan pihaknya akan meminta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membantu menyelesaikan tunggakan gaji Mac dan April.

Sham mengulangi pendiriannya akan melepaskan jawatan itu selepas tunggakan gaji pemain Perak diselesaikan dan akan berjumpa dengan Exco Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dan Perak FC sebelum meletakkan jawatan untuk memastikan mereka mempunyai calon lain bagi mengisi jawatan itu.

“Saya rela melepaskan jawatan Bendahari Perak FC, tetapi saya akan terus menjadi penghubung antara kerajaan negeri dan bola sepak Perak,” katanya.

Sham berkata demikian ekoran peminat bola sepak terus mengkritiknya di media sosial kerana mengeluarkan kenyataan pemain perlu mempunyai jiwa dan sayangkan pasukan dengan pemain Perak baru-baru ini.

Katanya kenyataan itu dibuat selepas perjumpaan Perak FC dengan pemain selepas pemain memboikot latihan di Stadium Perak di Ipoh baru-baru ini. – Bernama