Shahrul Saad, De Paula minta pelepasan tinggalkan Perak FC
Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Rizal Ali Naizali mengesahkan kapten pasukan, Shahrul Saad dan pemain naturalisasi, Guehelmie De Paula sudah meminta pelepasan untuk meninggalkan kelab itu.
Katanya, perbincangan lanjut akan dilakukan dengan ejen kedua-dua pemain berkenaan.
Perkembangan itu itu sekaligus mengesahkan khabar angin yang bertiup kencang mengenai perpindahan Shahrul dan sikap sambil lewa yang ditunjukkan De Paula dalam beberapa perlawanan sebelum ini dipercayai tidak lagi gembira bersama Bos Gaurus.
Rizal Ali berkata setakat ini hanya Selangor yang menyatakan minat terhadap Shahrul yang mesra dijuluki sebagai ‘Badak’ oleh rakan sepasukan, walaupun dibuat secara tidak rasmi.
“Saya kira Selangor bertindak secara profesional dengan menghubungi Perak FC. Saya ingin tahu apa sebenarnya yang dalam perancangan mereka,” katanya kepada pemberita di pejabat Sabah FC, di sini, petang tadi.
Sebelum ini, Shahrul dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Sri Pahang FC namun tiada sebarang maklumat mengenai pasukan yang mendambakan De Paula.
Sementara itu, Rizal Ali menafikan pihaknya masih berhutang gaji selama tiga bulan dengan pemain The Bos Gaurus, sebaliknya hanya bagi bulan April.
“Gaji untuk bulan Mac sudah dilangsaikan semalam. Bagaimanapun tiga pemain import iaitu De Paula, Careca dan Leandro belum dibayar gaji kerana kewangan Perak FC yang tidak mencukupi,” katanya.
“Beberapa tonggak tempatan pula diberi saguhati RM10,000 seorang manakala baki gaji mereka iaitu bagi bulan April akan dibayar sebelum Aidilfitri. Saya ingin menjelaskan kekeliruan mengenai dakwaan pemain Perak tidak menerima tiga bulan gaji.
“(Sebaliknya) kita sudah bayar gaji bulan Mac dan akan memastikan tunggakan hanya sebulan,” .
Terdahulu, tersebar khabar angin mengenai kemelut yang melanda pemain Perak sehingga ada yang mahu menjual motosikal.
“Tidak tahulah saya kebenaran berita ini, memandangkan gaji pemain ini bukannya kecil tetapi puluhan ribu ringgit. Jadi tidak logiklah kalau sampai nak jual motosikal sebab gaji tertunggak,” kata Rizal Ali. – BH