Setiap DUN terima sumbangan RM50,000 dari Kerajaan Negeri Perak

Setiap DUN terima sumbangan RM50,000 dari Kerajaan Negeri Perak

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu mengumumkan kerajaan negeri akan menyalurkan sumbangan RM50,000 kepada setiap pejabat pusat khidmat DUN seluruh Perak bagi membantu rakyat yang terjejas akibat bencana banjir serta pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

“Kerajaan Perak amat mengambil berat akan kesulitan sedang dilalui oleh rakyat yang terjejas akibat bencana banjir serta pelaksanaan PKPB di seluruh negeri dan perintah kawalan pergerakan dipertingkatkan (PKPD) di kawasan-kawasan tertentu.

“Prihatin dengan keadaan ini, kerajaan negeri akan menyalurkan sumbangan tunai RM50,000 kepada setiap pejabat pusat khidmat DUN di seluruh negeri Perak untuk diagihkan secara terus kepada golongan sasar di kawasan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dana sebanyak RM2.95 juta tersebut diperuntukan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Perak Fasa keempat melalui kesemua 59 pusat khidmat DUN.

Termasuk menerima bantuan itu ialah 24 Adun pembangkang.

Katanya, sumbangan itu akan sampai kepada semua golongan sasar yang memerlukan tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik bagi meringankan beban mereka.

“Kerajaan negeri berharap agihan bantuan terkini sebanyak RM50,000 melalui setiap pusat khidmat DUN ini akan dilaksanakan secara teratur dan telus, bagi mencapai matlamatnya iaitu sampai kepada golongan sasar tanpa mengira perbezaan politik.

“Pentadbiran ini juga berharap supaya setiap pusat khidmat DUN mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menjalankan urusan agihan bantuan bagi mengekang gelombang ketiga penularan pandemik Covid-19 ini,” katanya.

Sumber: Malaysiakini