Setelah menyepi dua hari kerana terima tekanan hebat, status terkini Nini Siron perincikan apa yang berlaku

Setelah menyepi dua hari kerana terima tekanan hebat, status terkini Nini Siron perincikan apa yang berlaku

SEORANG pengguna Facebook dengan akaun bernama Nini Siron, tampil mengaku membuat laporan polis berhubung dakwaan Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana memandu uji sebuah pacuan empat roda di Autocity Juru, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Wanita berkenaan berkata, tindakannya melaporkan perkara itu dan membuat hantaran mengenainya di media sosial hanyalah kerana mempertikai kesalahan melanggar SOP ketika negara dalam PKP 3.0.

Nini mengakui dia dan keluarga kini menerima tekanan berhubung perkara itu termasuk dikecam dan digertak pelbagai pihak.

“Untuk beberapa hari, saya mendiamkan diri kerana tekanan saya terima cukup hebat. Mungkin ini kali pertama dalam hidup saya. Jadi saya tak biasa. Maafkan saya kalau saya ‘privatekan’ akaun saya sebelum ni. Jadi kali ni saya peroleh sedikit kekuatan untuk munculkan diri.

“Saya manusia biasa yang punya hati dan perasaan. Tidak dinafikan, tekanan yang saya terima sekarang amatlah mengganggu. Tak cukup dengan saya, suami, anak dan semua adik kakak saya dikecam, dihina, digertak dan ditertawa. Apa salah kami?

“Saya hanyalah rakyat marhaen yang menyambut saranan kerajaan. Saya bukan orang politik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurutnya, kalau bukan Menteri Besar Kedah sekalipun yang dilihatnya melakukan kesalahan itu, dia tetap akan membawanya ke pihak berkuasa dan sebab itu dia turut menegur jurujual di pusat jualan kenderaan terbabit.

“Hat duk kata saya pegang phone sambil jerit jerit tu tak betui. Masa saya cakap dengan jurujuai tu tak dak nya saya pegang phone duk ambik gambaq macam orang duk kata tu. Saya tegur teruih ja. Bila saya tegur tu, dia dah lari,” katanya.

Beliau berkata, ada pihak turut mempertikai kehadirannya di pusat jualan kenderaan terbabit dan menurutnya jarak rumahnya ke Autocity adalah 9.4 kilometer atau enam minit perjalanan dan dia bersama suami ke kedai berhampiran membeli barang keperluan.

“Setelah apa yang saya saksikan pada hari tersebut, saya tidak akan pernah berganjak dari pendirian. Saya masih yakin dengan sistem perundangan Malaysia.

“Saya bukan sesiapa, polis harapan saya. Terima kasih polis Pulau Pinang yang banyak bagi nasihat. Saya pun bagi kerjasama sepenuhnya. Kadang sampai ke 5,6 pagi di balai polis.

“Benar, saya terima pelbagai offer dan tawaran dari orang politik, NGO dan sebagainya tapi saya memilih untuk mendiamkan diri dulu. Saya takut nak bercakap dengan sesiapa. Ada beberapa orang saya minta pandangan,” katanya.

Nini turut menjelaskan mengenai dakwaan yang dibuatnya itu supaya semua pihak terutama netizen memahami perkara sebenar.

“Untuk netizen, kajilah setiap inci info dalam posting saya sebelum ini, kereta bergerak, ketiadaan mereka di lokasi selama 10-14 minit membolehkan kami ambil gambar kereta mereka. Jika mereka di situ, adakah mereka tengok saja tanpa persoal tindakan saya.

“Pergilah lawat lokasi. Kalau mereka hanya di situ tanpa meninggalkan lokasi dah tentu pergerakan saya perlu melepasi mereka,” katanya.

Menurutnya, dia membuat laporan polis jam 10 malam pada hari kejadian, namun terdahulu turut memaklumkan mengenai kejadian pada 6.30 petang sama dengan menelefon balai polis berhampiran.

“Tujuan saya buat posting pada hari berkenaan, tidak lain tidak bukan, hanyalah nak jawapan. Tolong letak tepi siapa mereka. Saya mempertikai kesalahan SOP. Itu sahaja.

“Ini boleh dijadikan teladan umum. Saya nampak ‘pelanggan’ dan jurujual melakukan aktiviti dan urusan yang mana ia jelas tidak dibenarkan. Bagi yang kurang jelas, sila rujuk SOP untuk automotif di bawah ‘pusat pengedaran kereta’.

“Ada kata saya fitnah, tetapi tiada seorang pun sanggup buat laporan polis kata saya fitnah. Akhirnya Menteri Besar sendiri mengaku. Cerita saya konsisten sebab bukan saja saya nampak, suami pun nampak sekali,” katanya.

Beliau berharap keadilan ditegakkan bukan untuk dirinya tetapi untuk rakyat yang mahukan tiada lagi ‘double standard’ dalam tindakan penguatkuasaan SOP PKP.

“Pesan saya, nak pi mana-mana tolong bawa otak, jangan tinggai di rumah,” katanya.

Sumber: Malaysiapost