Serah diri pada polis lepas tikam rakan

Serah diri pada polis lepas tikam rakan
Seorang lelaki menyerah diri kepada polis dalam keadaan berlumuran darah selain membawa pisau yang digunakan untuk menikam rakannya hingga maut dalam kejadian di bengkel kenderaan di Jalan Raja Omar, Kampung Selamat, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 12.50 tengah hari itu, mangsa iaitu lelaki berusia 42 tahun maut akibat parah ditikam di leher dan perut.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, suspek berusia 51 tahun itu datang ke balai memaklumkan kejadian itu bersama adiknya pada 1.20 tengah hari.

Menurutnya, mangsa yang berkerja sebagai peniaga buah itu dikatakan datang ke bengkel suspek kerana mahu menuntut hutangnya sebelum berlaku pergaduhan antara mereka.

“Mangsa dikatakan memukul suspek dan kemudian mencari pisau dalam bengkel sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

“Suspek juga mendakwa dia merampas senjata daripada mangsa dan menikam mangsa di leher dan perut,” katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.

Nor Omar berkata, lokasi kejadian bersebelahan rumah keluarga suspek dan ketika kejadian adik lelaki suspek berusia 40-an turut berkerja di bengkel itu dan anak lelaki mangsa berusia 15 tahun turut berada di lokasi.

“Polis mengenal pasti punca kejadian disebabkan oleh hutang namun siasatan lanjut masih diteruskan.

“Setakat ini, tiga saksi sudah diambil keterangan termasuk suspek dan lelaki itu bersama adiknya ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Katanya, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat.

 

MANGSA maut ditikam rakannya ketika mahu menuntut hutang di bengkel kenderaan di Jalan Raja Omar, Kampung Selamat, Sitiawan, hari ini. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
MANGSA maut ditikam rakannya ketika mahu menuntut hutang di bengkel kenderaan di Jalan Raja Omar, Kampung Selamat, Sitiawan, hari ini. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Sumber: Harian Metro