“Pergi kaunter buat-buat tanya..” – Pelanggan terkejut sepinggan nasi lauk ayam ada tiga harga berbeza
Harga makanan yang murah sering dianggap sebagai tarikan utama sesebuah kedai makan atau restoran.
Bagi hidangan nasi berlauk pula, kebiasaannya harga yang dinyatakan kepada pelangggan bergantung kepada individu yang membuat kiraan.
Menerusi satu hantaran, seorang individu mendedahkan sepinggan nasi campur yang diambil di sebuah kedai makan mempunyai tiga harga berbeza.
“Pergi makan satu kedai ni, ambil ayam masak merah dengan sambal petai bersama air teh ais. Pekerja yang muda datang kira, RM11.50.
“Baru sahaja duduk di meja, datang seorang lagi kira, saja tak cakap tadi dah kira… dia kira-kira jadi RM13.30,” ujarnya di grup Facebook.
Dia yang terkejut dengan peningkatan harga bagi sepinggan nasi yang diambil, kemudiannya bergerak ke kaunter bagi mendapatkan kesahihan harga daripada juruwang.
“Pakcik pun pergi ke kaunter dan buat-buat tanya semua berapa harga.
“Mula-mula dia suruh makan dulu sebab akan ada orang kira tapi pakcik cakap nak bayar dulu, juruwang tu kira-kira, total RM10.70 je,” ujarnya berkongsi pengalaman.
Situasi yang dialami itu membuatkan dia meminta golongan peniaga untuk bersikap jujur dan menampilkan tanda harga bagi setiap hidangan yang dijual.
Pada masa sama, pelayar ini turut menegur sikap pekerja yang kononnya mahir dalam membuat kiraan, namun sebaliknya melakukan kesilapan.
Menjengah ke ruangan komen, warga maya turut berkongsi pengalaman yang sama dan berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya kepada peniaga yang mengambil kesempatan.
“Memang ada kedai macam tu, apabila suruh kira, mereka suruh makan dulu sedangkan lauk dan nasi yang diambil tak banyak tapi harga yang diletakkan sangat mahal.
“Naya betul dapat tiga harga berbeza ikut tapi eloklah pelanggan ikut cara pakcik ni.
“Kalau tanya harga ayam berapa dan teh ais berapa, nanti ada yang buat muka tak puas hati.
“Makanan jenis ceduk ni subjektif, harga ikut suka hati pengira… nak harga yang tetap, pergi makan kedai makanan segera,” demikian kata netizen.