Sepasang suami isteri ‘berputih mata’ gara-gara ditipu pelaburan kripto, wang persaraan lebih setengah juta lesap

Sepasang suami isteri ‘berputih mata’ gara-gara ditipu pelaburan kripto, wang persaraan lebih setengah juta lesap

 

Sepasang suami isteri berputih mata apabila wang simpanan termasuk dana persaraan melebihi setengah juta ringgit milik mereka lesap selepas terpedaya dengan sindiket penipuan membabitkan pelaburan kripto yang tidak wujud.

Perkara itu terdedah selepas mangsa yang juga pesara kerajaan berusia lingkungan 70-an membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak pada petang semalam berhubung penipuan sindiket sejak Januari lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata siasatan awal mendapati mangsa berhubung dengan pemilik laman Facebook Najwan Islamic beralamat di Singapura yang menawarkan perkhidmatan pembelian saham mata wang kripto di Amerika Syarikat (AS) pada 8 Januari lalu.

“Sehari selepas itu, mangsa memulakan pelaburan dengan membeli dua unit saham bernilai RM500 dengan memasukkan wang ke dalam satu akaun bank tempatan.

“Suspek menyatakan mangsa akan menerima pulangan pelaburan RM4,950 dalam tempoh sehari iaitu pada hari sama,” katanya dalam malam tadi.

Mohd Yusri berkata, suspek juga memaklumkan jika mangsa tidak mengeluarkan wang berkenaan, keuntungan pelaburan akan semakin meningkat.

“Pada 10 Januari lalu, mangsa menghubungi suspek semula untuk bertanyakan berkaitan wang pelaburan dan diberitahu nilai keuntungan sudah mencecah RM18,500.

“Bagaimanapun, mangsa diminta membuat pelbagai bayaran untuk mendapatkan keseluruhan hasil pelaburannya.

“Sepanjang tempoh Januari hingga Julai, mangsa melakukan 133 transaksi pindahan wang secara dalam talian ke 39 akaun bank tempatan membabitkan jumlah kerugian RM542,171.20,” katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh itu juga, mangsa tidak menerima sebarang bayaran daripada hasil pelaburannya yang mana wang itu adalah hasil simpanan mangsa, selain wang persaraannya bersama isteri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Siasatan masih diteruskan.