Sembunyikan senjata tajam & ajak adik beradik ipar tinggal sebumbung, tak sangka ini yang terjadi pada Khai Bahar

Sembunyikan senjata tajam & ajak adik beradik ipar tinggal sebumbung, tak sangka ini yang terjadi pada Khai Bahar

Penyanyi Khai Bahar baru-baru ini mencuri perhatian selepas mendedahkan bahawa dirinya kini tinggal sebumbung dengan adik-beradiknya bersama pasangan mereka.

Keputusan tersebut difahamkan terpaksa dibuat selepas pemuda berusia 29 tahun itu mendengar bisikan misteri yang menyuruhnya untuk terjun dari balkoni rumah.

Malah, Khai juga harus menyembunyikan senjata tajam seperti pisau di dalam almari selepas mendengar bisikan yang turut menghasutnya mencederakan dirinya sendiri.

Tiada kaitan dengan perkara mistik, Khai percaya kejadian itu berpunca daripada penyakit kebimbangan melampau atau dikenali sebagai anxiety yang dihadapinya.

Bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku, Khai terpaksa mengajak adik-beradiknya tinggal bersama meskipun mereka sudah berkahwin, lapor Berita Harian.

“Saya pernah terdengar bisikan minta terjun daripada balkoni rumah. Atas sebab itu, saya elak duduk bersendirian kerana takut bisikan ini menghantui fikiran,” katanya memetik Berita Harian.

Dedah pemilik nama sebenar Muhammad Khairul Baharuddin itu, penyakit tersebut mula dialaminya beberapa tahun lalu selepas dikaitkan dengan pelbagai kontroversi

Sejenis penyakit yang tidak boleh dipandang ringan, Khai mengaku pernah mengalami sesak nafas di tengah malam akibat anxiety hingga terpaksa dikejarkan ke hospital.

“Saya alami sesak nafas sampai terpaksa dikejarkan ke hospital. Bagi menyedapkan hati, saya jalani pemeriksaan kesihatan dan nyata, saya sihat tanpa sebarang penyakit.

“Saya mungkin terlalu memikirkan persepsi orang terhadap saya (selepas dihimpit kontroversi). Namun, saya bersyukur berjaya atasi penyakit ini.

“Tujuan saya berkongsi untuk beri kesedaran mengenai masalah kesihatan mental,” jelas penyanyi yang mula dikenali ramai selepas nyanyiannya tular di aplikasi Smule.

Khai yang juga pelakon drama Shakira itu sempat menasihatkan agar mereka yang mengalami masalah anxiety ini segera mendapatkan rawatan dengan pakar psikiatri.

“Percayalah ada hikmah atas setiap perkara yang berlaku. Jangan malu dengan masalah kesihatan mental dialami dan usah berlengah mendapatkan bantuan pakar psikiatri.” Tegasnya.