Sembilan polis IPD Taiping tolak rasuah terima penghargaan

Sembilan polis IPD Taiping tolak rasuah terima penghargaan

Sambutan Hari Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ke-214 tahun peringkat negeri Perak kali ini mencatat kejayaan tersendiri bagi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping apabila sembilan anggotanya dan seorang petugas awam menerima Surat Penghargaan Ketua Polis Negara (KPN) dan Anugerah Integriti PDRM.

Mereka adalah sebahagian daripada 32 pegawai, anggota dan petugas awam pelbagai jabatan dan cawangan yang menerima surat penghargaan yang disampaikan oleh Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Sembilan anggota dari IPD Taiping menerima surat penghargaan kerana sifat amanah menolak wang sogokan yang diberikan orang awam dalam dua operasi berbeza.

Antara yang menerima surat penghargaan tersebut ialah Sarjan Tomeromatamini Hossin yang bertugas di Balai Polis Pokok Assam, Taiping.

Tomeromatamini bersama anggotanya menahan seorang pemandu lori kerana memberi suapan pada sekatan jalan raya Kuala Sepetang arah Taiping-Kuala Sepetang, Taiping pada 24 Jun tahun lalu.

Suapan tersebut supaya Tomeromatamini tidak mengambil tindakan undang-undang kerana tidak memiliki lesen memandu.

Menurut Sarjan Tomeromatamini, walaupun sogokan tersebut kecil, tetapi, ia tetap kesalahan dan menjadi tanggungjawab beliau sebagai anggota polis untuk menolak rasuah.

“Sebagai anggota polis, kita telah diajar sejak melangkah masuk ke pusat latihan supaya menolak segala bentuk rasuah demi menjaga imej pasukan,” ujarnya.

Manakala operasi kedua pula melibatkan sepasukan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Taiping yang menolak cubaan merasuah daripada seorang pemandu dalam Ops Mabuk di Jalan Tupai dekat Taiping pada Julai tahun yang sama.

Menceritakan kejadian tersebut, Sarjan Som Nek Euat memberitahu, lelaki itu yang didapati memandu dalam keadaan mabuk mengeluarkan sejumlah wang agar dilepaskan.

“Walaupun telah diberi amaran tetapi pemandu tersebut tetap berdegil, lalu saya memberitahu pegawai yang kemudian mengarahkan dia ditahan.

“Secara peribadi penganugerahan surat ini memberi motivasi kepada saya dan rakan-rakan untuk terus berkhidmat dan menjaga nama pasukan,” katanya.

Anugerah Integriti Polis PDRM Tahun 2021 daripada Jabatan Pematuhan Integriti dan Standard PDRM pula diterima petugas awam IPD Taiping, Gouri Kamachi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat ketika ditemui pula memberitahu, integriti yang dipamerkan oleh anggota-anggota berkenaan amatlah dipuji selain kewibawaan mereka wajar dicontohi.

“Kita mahu isu-isu rasuah dapat dihapuskan agar tidak menjadi penyakit seperti mana yang ditegaskan oleh KPN, Tan Sri Abdul Hamid Bador,” katanya. – Utusan