Sembilan lelaki ditahan, bergaduh berebut perempuan

Sembilan lelaki ditahan, bergaduh berebut perempuan

Angkara seorang wanita, sembilan lelaki ditangkap selepas terlibat dalam satu rusuhan di hadapan Chong Lin Plaza, Green Road petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata, kesemua suspek lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 35 tahun ditangkap di sekitar Kuching dan Padawan.

“Pada 14 Februari 2021 sekitar jam 5 petang di Chong Lin Plaza, Green Road, Kuching telah berlaku rusuhan antara dua pihak yang disyaki berpunca dari seorang wanita dan perasaan tidak puas hati antara satu sama lain.

“Dalam kejadian tersebut mereka masing-masing bersenjatakan parang, rotan dan pedang samurai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, tegasnya, polis telah melancarkan operasi menangkap kesemua mereka yang terlibat dalam kejadian tersebut dan tangkapan pertama seawal jam 12.14 tengah malam di sekitar Kuching dan Padawan.

“Seramai sembilan orang perusuh tersebut telah ditahan dan beberapa peralatan yang digunakan termasuk dua kereta telah dirampas,” jelas Awang Din.

Tambahnya, kesemua mereka akan ditahan reman untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah seksyen 148 kanun keseksaan,” ujarnya.

Kes masih dalam siasatan. – UO