Sembilan ditahan kerana bekerja dalam tempoh kuarantin

Sembilan ditahan kerana bekerja dalam tempoh kuarantin

 

Sembilan warga asing bersama seorang penyelia ditahan selepas dikesan bekerja walaupun sedang menjalani kuarantin.

Kesemua mereka yang bekerja di sebuah premis pembekal dan membungkus sayur di Kawasan Perindustrian di sini, ditahan selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Pemulihan Negara Fasa 2.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, penyelia berusia 32 tahun dan pekerja antara 25 hingga 40 tahun itu ditahan selepas sepasukan pegawai dan anggota petugas Ops Covid/Ops Patuh Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar membuat pemeriksaan di premis berkenaan pada jam kira-kira 12.30 tengahari, semalam.

“Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki warganegara tempatan iaitu penyelia premis dan sembilan pekerja warga asing yang memakai gelang warna merah jambu di pergelangan tangan sedang bekerja.

“Semakan pada gelang berkenaan mendapati penyelia dan pekerja terbabit masih dalam tempoh kuarantin bermula Rabu lalu hingga 27 Ogos ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hasron Nazri berkata, hasil siasatan juga mendapati penyelia premis berkenaan mengarahkan sembilan pekerja warga asing terbabit yang tinggal di aras dua supaya datang bekerja di tingkat bawah premis pada jam 8 pagi semalam.

“Perintah kuarantin sudah dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kampar dan dipakaikan gelang kuarantin pada pada Jumaat lalu.

“Oleh itu, tangkapan dibuat terhadap penyelia premis bersama sembilan pekerja berkenaan kerana melakukan pelanggaran SOP PKP Pelan Pemulihan Negara (Fasa 2),” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin menularkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

“Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sumber: Harian Metro