Semacam tiada kesudahan, 20 tahun penduduk hidu bau tinja ayam
Semacam tiada kesudahan. Demikian luahan penduduk berhubung masalah lalat dan bau busuk berpunca daripada najis ayam dan itik ladang ternakan di Trong, di sini yang menjejaskan ketenteraman lebih tiga kampung dan berlarutan sejak lebih 20 tahun.
Penduduk Kampung Sungai Limau, Muhamad Fauzi Ibrahim, 36, berkata, keadaan itu bukan hanya menjejaskan penduduk kampungnya, malah meliputi kampung lain termasuk Kampung Toh Johan, Kampung Kuala Trong, Kampung Batu 10 dan Kampung Batu 11.
Beliau berkata, terdapat dua ladang berasingan di kawasan itu yang mana pengusaha kedua-dua ladang itu dipercayai membuang sisa najis unggas terbabit tanpa mematuhi garis panduan pengendalian sisa binatang ternakan seperti ditetapkan pihak bertanggungjawab.
“Perkara ini bukan baharu, sebaliknya berlaku sejak lebih 20 tahun lalu hinggakan kami tidak tahu apa lagi hendak dibuat. Aduan kepada pihak berwajib termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) pun sudah banyak kali dibuat namun tidak menampakkan hasil.
“Setiap kali perjumpaan mahu diadakan, pengusaha ternakan hanya menghantar wakil sahaja dan kemudian menyelesaikannya, namun masalah itu berulang semula,” katanya ketika ditemui, semalam.
Beliau berkata, selain bau busuk, masalah apabila Sungai Limau yang terletak berdekatan kawasan ladang terbabit ada kalanya tercemar sehingga airnya bertukar kehitaman dipercayai kesan aktiviti ladang unggas berkenaan.
Katanya, keadaan itu tidak pernah berlaku sehinggalah ladang ayam dan itik itu mula beroperasi justeru menyebabkan air sungai itu tidak lagi menjadi sumber air ‘percuma’ bagi kegunaan dalam waktu memerlukan.
“Selalunya, bau busuk datang antara waktu petang ke pagi keesokannya khususnya sewaktu keadaan berangin hinggakan kami berasa malu khususnya sewaktu menerima kunjungan tetamu seperti mengadakan majlis kenduri sebelum ini, disebabkan bau busuk dan lalat,” katanya.
Bagi Rubiah Shamsudin, 72, pula, dia dan keluarga sudah lama tidak makan berhidang berikutan makanan akan dihurung lalat jika dihidangkan, selain tidur malamnya juga kerap terganggu disebabkan kehadiran lalat yang terlalu banyak pada masa-masa tertentu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Trong, Jamilah Zakaria berkata, tinjauan kali ketiga pihaknya bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak, baru-baru ini mendapati terdapat pihak tidak bertanggungjawab melambak najis unggas terbabit di kawasan estet sawit berdekatan.
Katanya, tindakan keras harus diambil kerana pengusaha dan penternak ladang itik dan ayam itu lebih rela membayar kompaun dan denda berbanding menyediakan alatan khusus untuk pengurusan tinja (najis) mengikut prosedur.
“Tinjauan pertama dilakukan pada 7 Februari 2020 susulan aduan mengenai air sungai yang tercemar rentetan pembuangan najis dari ladang ke sungai, manakala tinjauan kedua dilakukan pada 27 Julai 2020 di kawasan penternak ladang ayam selepas menerima aduan mengenai masalah lalat,” katanya.
Sumber: Harian Metro