Selepas umum keluar Warisan, Mohamaddin Ketapi letak jawatan sebagai ADUN Segama

Selepas umum keluar Warisan, Mohamaddin Ketapi letak jawatan sebagai ADUN Segama

 

AHLI Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi yang mengumumkan keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) Sabtu lalu, bertindak meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Segama.

Menurut satu surat yang tular hari ini, peletakan jawatan itu dibuat serta-merta bertarikh 30 Oktober lalu, lapor MalaysiaGazette.

“Selaras dengan ikrar kesetian saya kepada Parti Warisan Sabah, saya dengan ini menyerahkan dan memaklumkan peletakan jawatan saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dengan serta merta.

“Saya faham bahawa dengan tindakan saya, saya tidak akan layak untuk menjadi calon untuk ADUN Sabah selama lima tahun bermula daripada tarikh surat ini,” tulisnya.

Surat itu diterima pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat Sabah, Datuk Kadzim M Yahya, hari ini.

Sabtu lalu, Mohamaddin mengumumkan keluar daripada parti pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal dan menjadi wakil rakyat bebas di Dewan Rakyat.

Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya ketika pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu turut mengumumkan menjadi Adun bebas mesra kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mohamaddin menjadi wakil rakyat Warisan yang ketiga meninggalkan parti selepas Adun Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir keluar pada 25 Februari dan diikuti oleh Adun Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob yang keluar pada 8 Oktober lalu.