Selepas hina Sultan Selangor, Sanusi minta ampun di FB jer

Selepas hina Sultan Selangor, Sanusi minta ampun di FB jer

 

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Sanusi Md Nor yang juga Menteri Besar Kedah menganggap ucapannya yang menyebut tentang Sultan Selangor baru-baru ini telah diputar belit.

Dia mendakwa kenyataannya yang turut menggelar Datuk Seri Amirudin Shari sebagai ‘menteri besar coki’a (tiada kualiti)’ telah diputar belit untuk menimbulkan kefahaman yang salah oleh agen-agen Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, Sanusi memohon ampun dan berharap Sultan Selangor tidak murka terhadapnya susulan kenyataannya yang didakwa telah memperlekeh Baginda berhubung pemilihan menteri besar.

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu memberitahu dia telah mengutuskan warkah kepada Sultan Kedah untuk menjelaskan konteks, maksud sebenar dan medan yang tercakup daripada ucapan yang telah “sengaja diputar belit” itu.

“Warkah saya itu didahului dengan merafak sembah memohon ampun dan maaf kepada Sultan Selangor seraya berharap tidaklah timbul kemurkaan Baginda Tuanku Sultan bersabit isu sengaja dibangkitkan daripada ucapan itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Reaksi terbaharu Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berkenaan susulan laporan polis oleh lima Ahli Dewan Diraja Selangor yang turut menuntut permohonan maaf secara terbuka.

Dalam masa sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat semalam telah menerima 31 laporan polis di seluruh negara membabitkan isu kontroversi itu.

Mengulas lanjut, Sanusi berkata, dia telah dimaklumkan oleh Pegawai Istana Selangor bahawa Sultan Selangor telah memberi perkenan untuk menerima dan membaca warkah itu semalam.

Walau bagaimanapun, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu tidak mendedahkan warkahnya atas alasan untuk menjaga adab berurusan dengan istana.

“Warkah tersebut tidaklah molek untuk diperturunkan di sini bagi memelihara kemuliaan DYMM Tuanku Sultan dan menjaga adat dan adab berurusan dengan istana,” katanya.

Dalam masa sama, Sanusi turut mengesahkan telah memberi keterangan kepada pegawai penyiasat Bukit Aman pada 2 pagi semalam untuk membantu siasatan berhubung kenyataan yang menyentuh isu 3R itu.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyiasat ahli politik Pas itu mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Dalam ucapannya yang tular, Sanusi dilihat menghina institusi beraja apabila menyentuh tentang perkenan Sultan Selangor, berkait pelantikan Menteri Besar.