Selepas dua kapal mewah dirampas, Genting Hong Kong tutup pejabat & buang pekerja

Selepas dua kapal mewah dirampas, Genting Hong Kong tutup pejabat & buang pekerja

 

Crystal Cruises milik Genting Hong Kong Ltd menutup pejabatnya di Amerika Syarikat (AS) dan memberhentikan pekerja, kata individu yang rapat dengan perkara itu.

Langkah itu dibuat beberapa hari selepas dua kapal mewahnya dirampas kerana tidak membayar bil ketika syarikat induk berusaha untuk merundingkan penstrukturan semula dengan pembubar sementara.

Pekerja diberhentikan pada Rabu lalu, kata individu berkenaan, yang meminta tidak dikenali kerana maklumat itu tidak diumumkan kepada awam.

Satu video pengumuman dibuat kepada kru di atas kapal Crystal Cruises memberikan perincian mengenai berita itu, demikian menurut satu hantaran Twitter di Crew Center, satu forum untuk pekerja kapal.

V.Ships, sebuah syarikat pengurusan kapal, akan menjadi firma pengurusan baharu, demikian menurut pengumuman berkenaan.

Bloomberg News tidak dapat mengesahkan video itu.

“Malangnya, ini adalah pengakhiran bagi Crystal Cruises,” kru diberitahu dalam video terbabit.

“Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Kapal akan dijual.”

Crystal Cruises, Genting Hong Kong dan V.Ships tidak menjawab kepada pertanyaan dikemukakan.

Penutupan operasi ibu pejabat Crystal Cruises di Miami menyusuli penyitaan kapal di Bahamas minggu lalu.

Satu pembekal bahan api mengemukakan tuntutan bil tidak berbayar sebanyak AS$4.6 juta (RM19.2 juta).

Sementara itu, Genting Hong Kong sedang berunding dengan pembubar sementara untuk menstruktur semula kumpulan.

Crystal Cruises menjadi pengendali kapal persiaran terbesar dunia yang mendapatkan bantuan mahkamah untuk melindungi asetnya semasa pandemik apabila ia meminta Mahkamah Tinggi di Bermuda pada 18 Januari untuk melantik pembuar sementara selepas kehabisan ‘segala usaha yang wajar’ untuk berunding dengan pemberi pinjaman dan pihak berkepentingan.

Syarikat itu melaporkan kerugian terbesar AS$1.7 bilion (RM7.1 bilion) pada Mei lalu apabila pandemik memusnahkan industri kapal persiaran.

Anak syarikat pembinaan kapalnya di Jerman, MV Werften, diisytihar muflis.

Crystal Cruises sebelum itu berkata, ia menggantung operasi kapalnya sehingga Mei.

Pusat panggilannya dihentikan sementara sehingga diberitahu kemudian dan ia masih lagi memproses tuntutan balik pelanggan, demikian menurut laman web syarikat itu.

Dream Cruises Holding Ltd, anak syarikat tidak langsung bukan sepenuhnya Genting Hong Kong, akan terus mengendalikan kapal di Asia.

Tempahan bagi New Dream Cruises digantung sehingga diberitahu kemudian, manakala pelayaran bagi kapal Genting Dream dibatalkan sehingga sekurang-kurangnya 16 Februari ini berikutan peraturan penjarakan sosial yang ketat di wilayah berkenaan, kata syarikat itu.