Selepas betulkan fakta teori ‘Black Hole’, ahli fizik ini dikecam pengikut Ustaz

Selepas betulkan fakta teori ‘Black Hole’, ahli fizik ini dikecam pengikut Ustaz

 

Menjadi ‘nature’ seorang pendidik bagi membetulkan sesuatu yang salah dan itulah yang dilakukan oleh ahli fizik ini. Ahli fizik yang juga penulis 8 judul buku berkaitan dunia sains, tuan Zamir Mohyedin telah menulis penjelasan panjang berkenaan teori lohong hitam (black hole).

Penulisan itu khusus bagi membetulkan fakta yang diucapkan oleh seorang ustaz dalam salah satu ceramahnya. Zamir menyenaraikan 6 perkara dalam ceramah tersebut yang menurutnya tersasar daripada konsep sains sebenar dan anda boleh membacanya di sini.

Antara perkara yang disentuh oleh Zamir adalah peristiwa teori kerelatifan, dakwaan Albert Einstein menteorikan tentang pengembangan alam dan teori ‘bangang’ Stephen Hawking terhadap black hole.

Menurut perkongsian Zamir, ada banyak perkara yang perlu dibetulkan dalam video yang mempunyai 712K tontonan.

  1. Peristiwa Isra’ Mikraj merupakan tanda aras (benchmark) penerokaan/kajian angkasa.

Ini tidak benar. Kajian angkasa dibuat dengan pelbagai sebab. Antaranya manusia dahulu kala kaji angkasa untuk tahu musim menuai, musim menanam, ramalan cuaca dan bencana.

Selain itu, terdapat golongan kaji angkasa kerana mahu tahu sifat tabii alam semesta.

Objektif utama penerokaan angkasa (naik ke angkasa) pula bertunjangkan hegemoni. Rusia dan Amerika Syarikat merupakan dua negara terawal yang berlumba-lumba naik ke angkasa. Motifnya untuk tunjukkan teknologi siapa lebih maju untuk meranapkan negara lain.

  1. Pembetulan tentang teori kerelatifan.

Video ini mendakwa semakin laju kita bergerak, masa akan jadi semakin pendek. Beliau menggunakan analogi, kalau laju bergerak, lagi cepat sampai yang mana tersasar dengan maksud sebenar teori kerelatifan.

Dalam teori kerelatifan khas, semakin laju kita bergerak, sebenarnya masa jadi semakin memanjang. Masa menjadi dilat (dilute). Masa yang dilat (time dilation) bermaksud, semakin laju kita bergerak, masa yang kita alami lebih perlahan berbanding orang yang bergerak perlahan.

Kelajuan ini terpakai dan signifikan apabila kita bergerak menghampiri kelajuan cahaya, bukan kelajuan 280 km/j seperti yang dianalogikan dalam video.

1 saat orang yang bergerak menghampiri kelajuan cahaya terasa lebih panjang berbanding 1 saat orang yang pegun.

Apabila kita bergerak menghampiri kelajuan cahaya, ia boleh mengakibatkan kita lambat menua berbanding orang yang pegun. Teori kerelatifan khas telah dibuktikan benar melalui pergerakan kapal angkasa selaju 7,700 m/s yang dinaiki oleh Sergei Krikalev dan Sergei Avdeyev.

  1. Dakwaan Albert Einstein menteorikan tentang pengembangan alam.

Ini mungkin ramai tidak tahu. Awal kurun ke-20 dulu, ramai saintis percaya alam ini statik dan tidak berkembang. Malah, ramai saintis percaya alam telah wujud seadanya, tiada permulaan.

Einstein dulu pun tidak percaya alam ini berkembang. Sewaktu Georges Lemaitre dan Alexander Friedmann merumuskan alam ini berkembang melalui teori kerelatifan am, Einstein menambah pemalar kosmologi dalam teorinya untuk menjadikan alam ini statik.

Tetapi Einstein akui kesilapannya setelah banyak bukti, terutamanya daripada Edwin Hubble, yang menunjukkan alam ini berkembang.

  1. Dakwaan tentang Robert Woodrow Wilson.

Wilson dan rakannya, Arno Allan Penzias menemui latar sinaran kosmik bagi menguatkan teori dentuman besar (big bang). Tetapi bukan mereka yang merumuskan dan mencipta teori dentuman besar seperti yang didakwa di dalam video. Georges Lemaitre yang merumuskan teori dentuman besar.

  1. Dakwaan sinaran punca dentuman besar tercetus.

Tiada saintis yang mendakwa punca dentuman besar adalah daripada sejenis sinaran. Mungkin beliau keliru dengan latar sinaran kosmik yang ditemui oleh Wilson dan Penzas.

  1. Video siap cakap Stephen Hawking bangang kerana wujudkan teori lohong hitam untuk menyanggah teori yang tidak wujud (sinaran sebagai pencetus dentuman besar).

Sedangkan Stephen Hawking wujudkan teori lohong hitam (lebih khususnya ketunggalan lohong hitam) tersebut kerana saintis tidak tahu bagaimana keadaan sebelum dentuman besar itu tercetus. Inspirasi daripada Roger Penrose, Hawking berpendapat alam semesta bermula daripada ketunggalan (singularity).

Mungkin penceramah keliru dengan konsep lohong hitam dan sinaran sehingga tersilap huraiannya. Hawking pernah merumuskan bahawa lohong hitam melepaskan sinaran (dipanggil sinaran Hawking). Apabila sinaran dilepaskan, lohong hitam akan jadi semakin nipis dan proses penyejatan ini menyebabkan kematian lohong hitam kelak.

Sekadar maklumat tambahan: lohong hitam bukan lagi teori. Kita telah berjaya mencerap gambar lohong hitam pada tahun 2019. Pada tahun 2020, topik lohong hitam memenangi Hadiah Nobel Fizik.

Kalau mahu lebih tercerah lagi tentang ilmu alam semesta, boleh dapatkan buku saya, Genesis: Kosmologi & Dunia Kuantum melalui pautan berikut:

Bookstore: https://www.thepatriots.store/…/genesis-kosmologi-dan-duni…/

Shopee: https://shopee.com.my/The-Patriots-Genesis-i.238336777.8105…

Menjengah di ruangan komen, perkongsian Zamir itu bagaimanapun mencetuskan perbalahan antara mereka yang faham dengan konsep sains dan pengikut setia ustaz tersebut yang menolak penjelasan Zamir. Malah, ada yang menuduh Zamir sudah ‘sesat’ kerana terlalu berpaksikan sains.

Zamir sendiri berkata majoriti teori yang dibangkitkan oleh ustaz dalam video tersebut telah pun dibuktikan secara saintifik.

Untuk pengetahuan semua, ini bukanlah kali pertama Zamir membetulkan fakta tentang teori black hole ini. Pada 2019, Zamir sudah pun membetulkan fakta terhadap video black hole ustaz ini tetapi kurang ‘menyengat’ berbanding perkongsian terkini beliau.

Ketika ditanya mengapa beliau tidak berhubung terus dengan ustaz berkenaan tentang video tersebut, Zamir berkata beliau tidak langsung mengutuk ustaz berkenaan. Tulisan beliau itu hanya untuk membetulkan fakta kerana video berkenaan setakat ini sudah ditonton sebanyak lebih 700,000 kali.

Jika diberitahu kepada ustaz sahaja, hanya beliau sahaja yang tahu dan tidak mereka yang sudah menonton video tersebut yang sudah hadam maklumat yang salah.

Dalam perkongsian Tinda Minda oleh Dr Aspalilah Alias dan Dr Habibah Ismail, beliau berkata kehebatan ilmu sains tidak menyebabkan mereka jauh dari Allah, malah menyebabkan mereka lebih banyak mengkaji dalam mencari jawapan dalam setiap masalah dalam kehidupan manusia.

Bagaimanapun, kehebatan ilmu sains tidak setanding dengan kehebatan dan kebesaran Allah SWT yang merupakan pemilik segala ilmu.