Selepas bercerai, Datuk Red terpaksa tidur dalam kereta

Selepas bercerai, Datuk Red terpaksa tidur dalam kereta

 

“Berat hati untuk saya buat keputusan ini (bercerai), namun saya reda.”

Demikian reaksi Datuk Seri Adnan Abu atau lebih mesra disapa Datuk Red selepas bercerai talak satu dengan isteri pertamanya, Datin Seri Sharifah Norshafila Hashim, pagi tadi.

Mengulas lanjut perkara itu, Adnan berkata, dia berusaha mempertahankan perkahwinannya, namun terpaksa akur kehendak bekas isterinya.

“Saya sudah puas pujuk dan minta diberi peluang untuk memperbaiki kehidupan dari segi kewangan.

“Malangnya, rayuan saya tidak diterima dan perjalanan perceraian tetap diteruskan. Kalau saya tak lafaz cerai, takut lagi panjang cerita.

“Baru tiga minggu lalu saya ceraikan Adira, hari ini saya ceraikan isteri pertama pula,” katanya ketika dihubungi BH Online.

Dalam pada itu, Adnan turut menepis tanggapan tiada perasaan meskipun berdepan konflik rumah tangga hanya kerana kelihatan tenang dan suka berjenaka.

“Mereka hanya nampak dari segi luaran. Hakikatnya dalam hati tiada siapa tahu. Setiap kali selepas solat, saya akan mengadu pada Allah SWT sambil menangis.

“Banyak perkara menyedihkan berlaku dan kehidupan saya memang tidak terurus. Saya baru sahaja menyewa pejabat dan sebahagiannya menjadi tempat untuk saya menginap.

“Disebabkan itu, saya terpaksa tidur dalam kereta sementara proses renovasi selesai,” katanya lagi.

Terdahulu Adnan, 46, melafazkan talak terhadap Sharifah Norshafila, 38, pada jam 10.40 pagi di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor.

Lafaz itu dibuat di hadapan Hakim Syarie, Mohd Nurulazhar Mod Tohar.

Pada 23 April lalu, Adnan menceraikan isteri keduanya yang juga penyanyi Adira Suhaimi, 32, dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang, Selangor.