Selepas 26 hari dirawat di hospital kerajaan, lelaki terkejut bil pembedahan otak isteri hanya dicaj RM258

Selepas 26 hari dirawat di hospital kerajaan, lelaki terkejut bil pembedahan otak isteri hanya dicaj RM258

 

Seorang suami merasa sangat terkejut apabila hanya dikenakan caj sebanyak RM258 selepas tiga minggu isterinya dirawat di sebuah hospital kerajaan.

Tidak menyangka caj dikenakan adalah sangat rendah, isteri lelaki itu juga sempat menjalani pembedahan otak dalam tempoh 26 hari ditahan di hospital berkenaan.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook, lelaki bernama Lee Vi Hua itu bersyukur kerana pembedahan isterinya berjalan lancar walaupun melibatkan kos yang rendah.

May be an image of 2 people and hospital

Kongsi Vi Hua, isterinya segera dikejarkan ke klinik berdekatan pada 15 Disember lalu setelah mengalami sakit kepala teruk sehingga tidak mampu berjalan tanpa bantuan.

Isterinya iaitu Pei bagaimanapun masih mengalami kesakitan dan tidak mampu tidur lena meskipun telah menerima dos ubat penahan sakit dari klinik tempatan tersebut.

Keesokkan harinya, Vi Hua yang kerisauan itu membawa isterinya ke hospital swasta untuk menjalani pemeriksaan sebelum Pei disahkan mengalami pendarahan di otak.

“Doktor sarankan untuk jalani pembedahan otak dengan segera, namun rawatan itu hanya boleh dijalankan doktor pakar di hospital swasta lain atau hospital kerajaan terpilih.

“Pada mulanya, kami merancang pembedahan di hospital swasta yang dicadangkan dengan anggaran kos RM150,000. Isteri saya bagaimanapun disahkan positif COVID-19 pada 17 Disember lalu.

“Isteri dipindahkan ke hospital kerajaan di Johor Bahru kerana perlu menjalani proses dikuarantin terlebih dahulu sebelum dibedah.” Katanya dalam hantaran yang tular itu.

Habis tempoh kuarantin, Vi Hua menghubungi pihak hospital swasta untuk berpindah namun diminta kekal di situ kerana doktor yang terlibat bercuti selama dua minggu.

Oleh kerana Pei perlu dirawat dengan segera, pihak hospital swasta mencadangkan agar pembedahan otak tersebut dijalani doktor yang bertugas di hospital kerajaan.

“Akhirnya pada 7 Januari lalu, isteri saya berjaya menjalani pembedahan dan dibenarkan keluar dua hari kemudian. Pembedahan berjaya menandakan berakhirnya perjalanan yang mencabar selama 26 hari.

“Selepas tiga minggu berada di hospital di bawah jagaan pasukan perubatan terbaik, saya terkejut apabila hanya perlu menjelaskan bil RM258. Sistem kesihatan di Malaysia sememangnya bagus.

“Jika tidak, rawatan di hospital swasta boleh menyebabkan caj yang perlu dibayar berlipat kali ganda lebih tinggi.” Ulasnya yang telah membayar RM4000 bagi pemeriksaan isterinya di hospital swasta.

May be an image of 1 person, hospital and text