Selangor, Kuala Lumpur, Perak catat tunggakan bil IWK tertinggi

Selangor, Kuala Lumpur, Perak catat tunggakan bil IWK tertinggi

 

Jumlah tunggakan bil Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) paling tinggi direkodkan sehingga Disember tahun lalu, adalah membabitkan pemegang akaun dari Selangor, Kuala Lumpur dan Perak dengan nilai sebanyak RM464.56 juta.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata turut menyumbang kepada tunggakan bil IWK ialah agensi kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan jumlah RM33.23 juta.

Beliau berkata, daripada keseluruhan RM760.19 juta jumlah tunggakan bil terkumpul IWK hingga Disember tahun lalu, Selangor mencatatkan sebanyak RM287.60 juta atau 37.83 peratus.

“Pemegang akaun IWK di Kuala Lumpur pula merekodkan tunggakan bil sebanyak RM107.42 juta atau 14.13 peratus manakala RM69.54 juta atau 9.15 peratus membabitkan pengguna dari Perak.

“Daripada jumlah RM760.19 juta tunggakan bil terkumpul hingga Disember tahun lalu, kategori domestik adalah penyumbang tertinggi dengan tunggakan terkumpul sebanyak RM463.77 juta atau 61.01 peratus.

“Ia diikuti dengan komersial sebanyak RM255.51 juta atau 33.61 peratus, kerajaan sebanyak RM33.23 juta atau 4.37 peratus dan industri sebanyak RM7.67 juta atau 1.01 peratus,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Chan Ming Kai (PH-Alor Setar) yang ingin tahu jumlah tunggakan bil pembentungan IWK.

Katanya, daripada RM33.23 juta tunggakan dari agensi kerajaan, RM7.29 juta adalah dari kerajaan Persekutuan, agensi kerajaan negeri (RM6.78 juta), PBT (RM13 juta) dan lain agensi kerajaan (RM5.91 juta).

“Jumlah kutipan kumulatif adalah 92 peratus daripada jumlah pengebilan kumulatif sebanyak RM9,709.49 juta sehingga 31 Disember lalu,” katanya, menurut laporan Berita Harian.