Seksa tersepit jeriji longkang

Seksa tersepit jeriji longkang

 

Seorang lelaki terpaksa menahan sakit lebih 10 minit apabila kaki kanannya tersepit pada jeriji longkang di Kampung Selat di sini semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 8.09 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar dihantar ke lokasi kejadian.

Katanya, setibanya anggota di lokasi, didapati kaki kanan mangsa berusia 31 tahun itu gagal dikeluarkan kerana tersekat pada jeriji besi longkang.

“Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa melalui kawasan berkenaan untuk ke kedai runcit berhampiran.

“Anggota bertindak menggunakan peralatan khas untuk memotong jeriji penutup longkang bagi membolehkan kaki mangsa dikeluarkan,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa yang cedera ringan diberikan rawatan awal dan operasi tamat pada pukul 8.30 malam.