Sekat kapal kontena jika bawa sisa plastik haram

Sekat kapal kontena jika bawa sisa plastik haram

Kapal kontena dari Amerika Syarikat (AS) yang disyaki cuba membawa masuk sisa plastik secara haram ke negara ini diarahkan kembali semula ke negara asal sebaik pemeriksaan dan pemantauan secara terperinci selesai mengikut Konvensyen Basel.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada Pelabuhan Klang untuk menahan dan tidak membenarkan kontena yang dijangka tiba hari ini dibawa keluar dari kawasan itu.

“Secara prinsipnya kapal itu akan sampai pada hari ini, tetapi setakat ini belum tiba lagi. Kita sedang memantau dan mana-mana benda yang masuk ke negara yang bercanggah dengan peraturan, kita akan pulangkan semula ke negara asal.

“Kita sudah memaklumkan kepada Pelabuhan Klang untuk tahan supaya kontena itu tidak dibawa keluar dari kawasan pelabuhan dan diperiksa sebelum dihantar balik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir merasmikan Program Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Perak, di sini, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya masih belum mengetahui isi kandungan sebenar dan kontena akan diperiksa secara terperinci sebaik tiba di pelabuhan.

“Kapal terbabit tidak mempunyai ‘aprroval permit’ oleh pengurusan sisa pepejal, jadi itu antara dokumen yang akan kita semak sebelum kita hantar pulang ke negara asal.

“Sekarang ini kita belum dapat maklumat, kita akan membuat pemeriksaan fizikal dan juga pemeriksaan dokumen dan daripada situ kita akan semak keadaan sisa plastik dalam kontena terbabit.

“Sebaik tiba di pelabuhan, kita akan bersama-sama agensi lain melakukan pemantauan dan pemeriksaan secara terperinci bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), pihak berkuasa Pelabuhan Klang dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” katanya.

Katanya, pihaknya juga akan memeriksa jika sisa buangan itu dicemari dengan buangan terjadual ataupun bahan kimia sebelum dihantar pulang ke negara asal.

Terdahulu, KASA mengesan sebuah kapal kontena dari AS disyaki cuba membawa masuk sisa plastik secara haram ke negara ini. – HM