“Sekarang baru orang nampak realiti EV” – Pengerusi Toyota dedah jualan EV global telah menurun

“Sekarang baru orang nampak realiti EV” – Pengerusi Toyota dedah jualan EV global telah menurun

 

Ketika memegang jawatan Presiden dan CEO Toyota sebelum ini, Akio Toyoda sering dikritik oleh pelbagai pihak kerana seolah-olah melambatkan pembangunan model-model EV syarikatnya.

Namun Toyoda ada alasannya tersendiri kerana beliau nampak ada pelbagai cara untuk mencapai sasaran neutral karbon selain dari EV, contohnya seperti teknologi hibrid dan juga hidrogen.

Dan jelas, laporan Wall Street Journal seperti yang dipetik oleh Carscoop menyebut bahawa jualan EV yang bertumbuh 63% pada tahun lalu kini sudah perlahan kepada 49% tahun ini.

Perkembangan itu telah menyebabkan pengeluar-pengeluar automotif Amerika Syarikat yang terlibat dengan EV seperti GM dan Ford kini terjejas serta memperlahankan produksi model-model trak pikap EV mereka.

“Ada pelbagai cara untuk mendaki gunung bagi mencapai keneutralan karbon,” kata Akio Toyoda yang kini merupakan pengerusi Toyota kepada wartawan ketika berlangsungnya Japan Mobility Show (JMS) 2023 minggu lalu.

Beliau turut menambah apa yang terjadi di Amerika Syarikat buat masa sekarang menunjukkan bahawa pendekatan yang dibuat oleh Toyota terhadap EV adalah betul.

Toyoda juga mendakwa ini turut membuktikan bahawa “jika peraturan dibuat berdasarkan cita-cita, yang akan menderita adalah pengguna biasa”.

Minggu lalu juga presiden dan CEO Toyota Motor Asia Pacific (TMAP) Hao Quoc Tien turut menyatakan perkara yang sama kepada media dalam sesi pra-taklimat sebelum bermulanya JMS 2023.

Menurut Hao sekiranya Toyota terus menumpukan kepada teknologi EV, ia akan menyebabkan negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia yang lambat untuk membangunkan fasiliti mengecas tertinggal lebih jauh.

Hao menyatakan bahawa Toyota kini sedang berusaha keras untuk mengurangkan kadar pelepasan karbon menggunakan pelbagai teknologi untuk jualan bukan EVnya, dengan apa langkah yang digelar pendekatan pelbagai-cara kearah kemampanan.

Syarikat itu yakin bahawa setiap teknologi mempunyai peranannya dalam membantu mengurangkan pelepasan karbon.

Pelbagai teknologi yang dimaksudkan adalah termasuk enjin pembakaran dalaman (seperti petrol dan diesel), bahan bakar-bio gas asli termampat (CNG), kenderaan elektrik hibrid (HEV, atau sistem hibrid konvensional), kenderaan hibrid plug-in (PHEV, atau model hibrid dengan bateri lebih besar dan boleh dicas seperti EV), kenderaan elektrik bateri (BEV atau EV), serta kenderaan elektrik sel bahan api hidrogen (FCEV).